Sunday, March 29, 2009

Kelas Taekwondo Tidak Dibenarkan Diadakan Di Dewan SK Sg Talam

"Kelas Taekwondo tidak dibenarkan diadakan di dalam Dewan SK Sg Talam" begitulah keputusan lisan oleh Guru Besar SK Sg Talam, Kuantan yang telah dimaklumkan sendiri oleh Guru Besar sekolah tersebut kepada jurulatih Mohd Azlan Bin Mohd Nawi pada hari Sabtu (28 Mac 2009).
Keputusan itu dibuat berikutan beberapa aduan oleh pekerja-pekerja pembersih (cleaner) yang mendakwa pihak ETC serta pelajar-pelajar telah mengotorkan dewan tersebut semasa menggunakan dewan tersebut untuk latihan Taekwondo pada setiap hari Sabtu pada jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari.
Antara dakwaan lain yang telah ditujukan kepada kami adalah pihak kami tidak mematikan lampu dan kipas, tidak menyusun kerusi setelah digunakan serta tidak menutup pintu dewan setelah digunakan selepas latihan. Dan satu tuduhan yang agak besar yang dilemparkan kepada kami adalah kami telah merosakkan salah satu tombol pintu dewan tersebut.
Guru besar sekolah tersebut juga mendakwa pernah mengadakan "spot-check" di dalam dewan tersebut dan menemui plastik pembungkus air yang tersangkut pada cermin dewan dan mendakwa plastik tersebut adalah dari pelatih-pelatih kami yang mengikuti latihan Taekwondo.
Kami menyangkal kesemua dakwaan tersebut kerana kami amat menjaga kebersihan serta keselamatan dewan serta peralatan-peralatan di dalam dewan tersebut. Itu adalah diantara disiplin yang kami pupuk kepada semua pelatih-pelatih kami.
Kami tidak menafikan bahawa mungkin kami terlepas pandang terhadap sampah-sampah kecil seperti pembalut gula-gula yang telah dibuang oleh pelatih-pelatih kami yang tidak dikutip selepas waktu latihan. Tetapi dakwaan Guru Besar mengatakan bahawa plastik pembungkus air yang tergantung di cermin dewan tersebut adalah perbuatan pelatih kami adalah tidak berasas kerana kesemua pelajar kami tidak membawa air yang dibungkus dengan plastik. Kantin yang menjual air di dalam bungkusan tersebut juga tidak dibuka semasa hari Sabtu iaitu semasa kami menjalankan latihan. Tetapi, jika difikirkan kembali, sekiranya terdapat sampah sekeping dua yang kami terlepas pandang di dalam dewan tersebut, sudah menjadi tanggungjawab kepada pekerja-pekerja pembersih (cleaner) untuk membersihkan dewan tersebut kerana mereka dibayar gaji oleh pihak sekolah untuk kerja-kerja pembersihan.
Kami juga tidak menafikan terdapat beberapa orang pelatih kami yang tidak mempunyai disiplin yang bagus tetapi tidak masuk akal sekiranya mereka memecahkan tombol pintu semata-mata untuk menunjuk hebat. Dan sekiranya Guru Besar mempunyai bukti yang secukupnya untuk mendakwa pelajar kami yang melakukan perkara tersebut, kami akan mengaku salah dan membayar kesemua kerugian yang ditanggung oleh pihak sekolah.
Manakala lampu, kipas serta pintu dewan akan ditutup oleh jurulatih sendiri setelah memastikan kesemua pelatih keluar dari dewan serta memastikan keadaan dewan kembali seperti asal. Dan jurulatih juga akan memastikan kesemua pelajar telah keluar dari kawasan sekolah barulah bertolak ke kelas seterusnya.
Pihak kami telah mendengar beberapa kali aduan atau komplen daripada pekerja pembersih (cleaner) sekolah tersebut yang menyatakan kami tidak menutup lampu & kipas dewan, tidak menutup pintu serta tidak menyusun kerusi setelah digunakan. Tetapi malangnya aduan atau komplen itu diberitahu kepada pelajar-pelajar kami yang berusia 10 - 12 tahun oleh pekerja-pekerja tersebut dan bukannya kepada jurulatih yang mengajar di situ. ETC beranggapan bahawa tindakan pekerja-pekerja tersebut TIDAK MATANG kerana berurusan dengan kanak-kanak tidak dengan orang dewasa.
Walaubagaimana pun, pihak kami menerima aduan pertama itu dengan terbuka dan seterusnya memastikan segala dakwaan itu tidak akan berlaku lagi (sekiranya dakwaan itu benar). Tetapi malangnya dakwaan demi dakwaan yang kami terima oleh pekerja-pekerja tersebut walaupun segala tindakan yang kami buat untuk menjaga kebersihan serta keselamatan dewan tersebut telah diambil dan akhirnya keputusan TIDAK DIBENARKAN menggunakan dewan telah dimaklumkan secara lisan oleh guru besar.
Kami menerima keputusan daripada Guru Besar tersebut, tetapi kami amat berharap agar Guru Besar agar menyiasat perkara ini dengan teliti. Guru Besar tersebut telah menyatakan bahawa pekerja-pekerja pembersih itu adalah "MATA" dan "KEPALA" beliau dan apa yang diperkatakan oleh pekerja-pekerja pembersih itu adalah kata-katanya juga.
"Saya terpaksa mengambil tindakan untuk tidak membenarkan kelas Taekwondo diadakan di dewan ini adalah demi kepentingan pelajar-pelajar sekolah ini" kata Guru Besar tersebut kepada Jurulatih Mohd Azlan disaksikan oleh bekas ketua pelatih Taekwondo SK Sg Talam, Muhammad Lutfi. ETC tidak memahami apa sebenarnya maksud kata-kata Guru Besar tersebut tetapi atas dasar hormat kami hanya mengucapkan terima kasih dan beredar dari dewan tersebut tanpa mempertikai kata-katanya itu.
Walaubagaimana pun, kami dibenarkan menggunakan tempat terbuka seperti gelanggang bola keranjang SK Sg Talam atau di kaki lima yang terdapat di sekolah tersebut. Gelanggang bola keranjang sekolah tersebut tidak mempunyai bumbung dan matahari seolah-oleh berada tegak di atas kepada mulai jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang dan tidak sesuai untuk kami mengadakan kelas disitu.
Kami telah mengadukan hal ini kepada pihak PIBG SK Sg Talam, Kuantan dan berharap perkara ini dapat dibincangkan semua dengan Guru Besar kerana sekiranya pelatih-pelatih ini menyertai serta memenangi sebarang kejohanan, mereka akan membawa bersama nama baik bagi pihak SK Sg Talam, Kuantan dan bukannya nama ETC mahupun KTA.
Diharapkan perbincangan semula dengan Guru Besar pada masa akan datang akan memperolehi keputusan yang positif demi kebaikkan pelatih-pelatih sekolah tersebut. Majulah Sukan Taekwondo Untuk Negara (serta SK Sg Talam, Kuantan).


Lihat 2 foto di atas, adakah dewan ini kelihatan tidak kemas semasa kami menjalankan latihan? Adakah kelihatan sampah sarap, plastik air tergantung di cermin dewan atau kedudukan kerusi yang bersepah?

Lihat 2 foto diatas, adakah kelas yang kami "pinjam" untuk latihan kelihatan kotor? Adakah anda dapat menjangkakan kelas yang kami pinjam ini adalah kelas tercorot sekali kelihatan begitu bersih lantainya? Sebelum kami mengunakan kelas ini untuk latihan, kami telah menyusun meja dan kerusi yang terdapat di dalam kelas ini di belakang dan di tepi kelas, kami akan menyapu lantai di keseluruhan kelas kemudian baru memulakan latihan. Setelah latihan tamat, kami akan menyusun kesemua meja seperti keadaan asal dan kelas kelihatan jauh lebih bersih setelah kami menggunakan kelas ini.

Kami memiliki banyak lagi foto-foto yang diambil sepanjang kami menjalani latihan di sekitar SK Sg Talam yang membuktikan bahawa kami tidaklah sekotor yang didakwa oleh pihak SK Sg Talam, Kuantan.

Tuesday, March 24, 2009

Ujian Kelayakkan Tali Pinggang Diadakan Pada 29 Mac 2009

Hari ini (Rabu - 25 Mac 2009) adalah hari terakhir untuk menghantar borang penyertaan ke Ujian Kelayakkan Tali Pinggang yang bakal diadakan di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Kuantan pada 29 Mac 2009. Dijangkakan seramai 500 orang akan menyertai ujian tersebut.

Pelatih di kesemua pusat latihan seluruh Kuantan giat menjalankan latihan bagi menduduki ujian tersebut. Bermula daripada tahun 2009, ETC / KTA telah menetapkan syarat-syarat utama untuk pelatih yang ingin menduduki Ujian Kelayakkan Tali Pinggang.

Syarat-syarat tersebut adalah:

1) Telah mendaftar dengan Kuantan Taekwondo Academy dengan membayar yuran pendaftaran sebanyak RM10.00 serta menyertai insurans kelompok yang disediakan oleh KTA dengan menjelaskan sebanyak RM5.00 kepada KTA.

2) Menjelaskan kesemua yuran tertunggak sehingga bulan Ujian diadakan

3) Kedatangan tidak kurang daripada 75% dalam tempoh 3 bulan sebelum tarikh ujian

4) Menjelaskan yuran ujian sebanyak RM30.00 sebelum menduduki ujian

5) Mahir melakukan "patern" (Taegeuk) yang setaraf dengan gred pelajar tersebut

6) Mahir melakukan kesemua pergerakkan asas yang setaraf dengan gred pelajar tersebut
7) Tiada melakukan kesalahan disiplin berat sepanjang tempoh mengikuti latihan Taekwondo

8) Mendapat keizinan jurulatih yang melatih pelajar tersebut
9) Mendapat kebenaran bertulis daripada ibubapa/penjaga (hanya perlu menandatangani borang ujian kelayakkan tali pinggang yang disediakan)
10) Menghantar borang tidak lewat daripada tarikh yang ditetapkan oleh KTA

ETC berharap dengan perlaksanaan syarat-syarat ini dapat mendisiplinkan lagi pelatih-pelatih untuk menghadiri latihan, membayar yuran tepat pada waktu serta mengikuti latihan dengan bersungguh-sungguh.

Menurut Master Michael Tan Kim Chee, Pemeriksa/Examiner bagi ujian kali ini, patern/Taegeuk adalah satu tanggungjawab yang perlu pelatih mahir. Pelatih perlu mahir melakukan patern berdasarkan gred yang mereka perolehi di dalam ujian yang lalu barulah layak untuk menduduki ujian kali ini dan akan datang. Sekiranya pelatih tidak mahir melakukan patern/Taegeuk dengan baik, maka mereka tidak layak untuk menduduki ujian. Taegeuk adalah pergerakan yang perlu dipelajari oleh semua pelatih Taekwondo kerana ia adalah seni di dalam Taekwondo sama seperti pergerakkan "bunga" di dalam silat Melayu.



(klik pada gambar untuk saiz besar)


Thursday, March 5, 2009

ETC / KTA Akan Terus Menjalankan Pelbagai Program Pada Tahun 2009

Sepanjang tahun 2009 ini, ETC akan terus bekerjasama dengan Kuantan Taekwondo Academy (KTA) untuk mengelola, menganjur serta mengadakan pelbagai program di peringkat daerah & negeri.
Walaupun kes-kes berkaitan Malaysia Taekwondo Association (MTA), Malaysia Taekwondo Federation (MTF) & Malaysia Taekwondo Club Association (MTCA) belum diselesaikan lagi di peringkat kebangsaan, kami akan terus menjalankan pelbagai program bagi memantapkan lagi sukan Taekwondo di daerah Kuantan serta negeri Pahang.
"Kita tidak perlu menjadikan pelatih-pelatih sebagai mangsa disebabkan oleh keadaan ini, persatuan/kelab perlu terus mengadakan pelbagai program bagi menarik minat mereka terhadap sukan Taekwondo serta memberi kepercayaan bahawa sukan Taekwondo masih berpotensi di seluruh peringkat di negara ini" kata Pengerusi KTA, Master Tan Kim Chee (Michael), PJK.
Menurutnya, KTA telah merancang beberapa program seperti kejohanan, kem latihan, kursus serta pelbagai program lain pada tahun ini.
Bagi tahun 2009, sebanyak 3 kejohanan telah diaturkan iaitu 2 kejohanan diperingkat daerah serta 1 kejohanan di peringkat negeri. Manakala 4 ujian kelayakkan tali pinggang akan diadakan pada tahun ini, ujian pertama akan diadakan pada 29 Mac 2009 bertempat di Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Kuantan.
KTA telah menyediakan pelbagai pengisian untuk diserapkan semasa kem & kursus-kursus yang bakal diadakan. Kem & kursus ini akan diadakan bagi memenuhi cuti-cuti sekolah sepanjang tahun 2009. Selain daripada jurulatih-jurulatih KTA yang akan memberikan ceramah & tunjuk ajar, penceramah jemputan juga akan dijemput bagi memantapkan lagi pengisian semasa kem & kursus tersebut.
ETC akan terus memberi sokongan dan kerjasama terhadap semua program-program anjuran KTA sepanjang tahun 2009 & berharap ramai pelatih-pelatih ETC akan turut serta di dalam program-progam ini.
ETC sekali lagi berharap agar pihak-pihak yang berkenaan agar dapat menyelesaikan kes berkaitan dengan badan induk sukan Taekwondo di negara ini. Selagi perkara ini tidak dapat diselesaikan, kepercayaan orang ramai terhadap sukan Taekwondo di negara kita akan terus merosot dan ini akan mengakibatkan kerugian besar terhadap Malaysia. Sukan Taekwondo adalah sukan yang berpotensi dan terus berkembang di negara-negara luar tetapi malangnya sukan ini bakal merosot di negara kita sekiranya hal-hal seperti ini tidak diselesaikan dengan segera.

Thursday, February 26, 2009

Tadika Sinar Imani, Kg Padang Jaya, Kuantan

Kelab Taekwondo Tadika Sinar Imani mengadakan latihan Taekwondo pada setiap hari Khamis jam 8.30 pagi - 9.30 pagi bertempat di halaman Tadika Sinar Imani, Kg Padang Jaya, Kuantan. Seramai 30 orang pelajar daripada tadika tersebut telah menyertai kelab ini yang terdiri daripada pelajar 4 - 6 tahun.
Pihak pengurusan Tadika Sinar Imani (TSI) telah menetapkan yuran bulanan Kelab Taekwondo bagi tahun 2009 sebanyak RM20.00 sebulan bagi setiap pelajar. Kenaikkan sebanyak RM 5.00 daripada yuran tahun sebelumnya iaitu RM 15.00 bagi setiap pelajar adalah untuk caj pengurusan oleh pihak tadika. ETC/KTA hanya menerima sebanyak RM 13.00 (bagi setiap pelajar) sebagai upah/gaji jurulatih manakala TSI menerima sebanyak RM7.00 (bagi setiap pelajar) sebagai caj pengurusan. "Kenaikan yuran ini adalah untuk menampung kos-kos lain di tadika ini kerana kekurangan pelajar yang mendaftar masuk TSI pada tahun 2009" kata pemilik TSI, Puan Aiza.
ETC berpendapat kenaikan yuran di TSI agak tinggi dan tidak sesuai untuk taraf ekonomi di sekitar kawasan Kg Padang, Kuantan buat masa ini. Kg Padang adalah sebuah kawasan penempatan yang majoritinya 98% orang melayu dan 80% adalah mereka yang berpendapatan sederhana.
ETC juga berpendapat kadar yuran yang ditetapkan oleh pihak Kuantan Taekwondo Academy (KTA) iaitu badan induk bagi kelab taekwondo di Kuantan hendaklah dihormati & dipatuhi. KTA menetapkan yuran bulanan bagi setiap ahli adalah RM15.00 sebulan. Kadar ini telah ditetapkan sejak tahun 2001 sehingga sekarang walaupun telah berlaku beberapa kali kegawatan ekonomi dan kenaikkan harga petrol di Malaysia mahupun di seluruh dunia.
"Kita akan kekalkan kadar yuran bulanan (RM15.00) selagi kita mampu untuk menarik lebih ramai orang untuk menyertai aktiviti Taekwondo. Keadaan ekonomi sekarang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menaikkan yuran sewenangnya kerana ini akan memberi lebih tekanan kepada ibubapa serta pelajar." kata Pengerusi KTA, Master Tan Kim Chee (Michael), PJK.


(klik pada gambar untuk gambar yang lebih besar)



Wednesday, February 11, 2009

Kelab Taekwondo Tadika Pintar Ilmu Damansara Kuantan

Kelab Taekwondo Tadika Pintar Ilmu Damansara Kuantan mengalu-alukan penyertaan ahli baru yang berminat untuk menyertai kelab ini. Kelab ini ditubuhkan pada Mac 2008 kini disertai oleh seramai 35 orang ahli yang terdiri daripada pelajar Tadika Pintar Ilmu Bandar Damansara dan pelajar-pelajar sekolah rendah seperti SK Air Putih Kuantan, SK Semambu Kuantan dan SK Sungai Karang, Kuantan.
Kelas diadakan pada hari Selasa jam 5.30 petang - 6.30 petang bagi pelajar sekolah rendah, manakala pada hari Rabu jam 8.30 pagi - 9.30 pagi bagi pelajar Tadika.
Bagi mereka yang berminat, sila hadirkan diri pada hari latihan tersebut. Borang penyertaan akan diberika semasa hari pertama anda mengikuti latihan. Yuran pendaftaran adalah RM15.00 dan Yuran Bulanan adalah RM15.00. Pendaftaran dibuka sepanjang tahun.
Untuk keterangan lanjut sila hubungi Puan Atie (Pengurus Tadika Pintar Ilmu Damansara Kuantan) di talian 0139853799 atau Mohd Azlan (Jurulatih) di talian 0129801770.





(klik pada gambar untuk saiz yang lebih besar)

Tuesday, February 10, 2009

Monday, February 2, 2009

Kelab Taekwondo SK Jaya Gading & SK Fakeh Abd Samad, Kuantan mendapat sambutan yang menggalakkan

(klik pada gambar untuk saiz yang lebih besar)
Kelab Taekwondo SK Fakeh Abd Samad, Kuantan telah mengadakan pengambilan dan pendaftaran ahli baru pada 31 Januari 2009 (Sabtu). Dianggarkan lebih 30 orang ahli baru telah menghadiri hari pendaftaran ini yang terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 dan 3. Guru Penasihat Kelab Taekwondo SKFAS, Cik Radiana juga turut hadir pada hari tersebut bagi membantu proses pendaftaran.
Manakala pada hari keesokkannya (1 Februari 2009), Kelab Taekwondo SK Jaya Gading, Kuantan juga mengadakan pengambilan dan pendaftaran ahli baru. Dianggarkan lebih 30 orang ahli baru telah menghadirkan diri yang juga terdiri daripada pelajar tahun 1, 2 dan 3. Guru Penasihat Kelab Taekwondo SK Jaya Gading, Puan Rudziah tidak dapat hadir kerana beliau mengalami masalah kesihatan.
Hari pendaftaran dan kelas latihan pada hari tersebut telah dibantu oleh 4 orang penolong jurulatih iaitu Abdul Razif Bin Abd Razak dan Norashikin Nordin dari SMK Seri Damai, Kuantan, Nur Atirah Khairuddin dari SK Jaya Gading, Kuantan serta Abdul Wahid Bin Osman dari SMK Pandan, Kuantan.
Pendaftaran & pengambilan ahli baru masih lagi dibuka di semua pusat-pusat latihan seluruh Kuantan dan tiada tarikh tutup bagi pengambilan ahli baru. Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai kelas-kelas taekwondo, sila hubungi Mohd Azlan di talian 012-9801770.

Wednesday, January 21, 2009

Sambutan Luarbiasa Di SK Kampong Padang, Kuantan

(gambar tahun 2005 - sekadar hiasan)
Sambutan pelajar SK Kampong Padang, Kuantan amat luarbiasa terhadap kelas Taekwondo yang diadakan pada hari Ahad yang lepas. Terima kasih kepada Guru Penasihat Kelab Taekwondo, Puan Ros Azimah kerana mempromosikan kelab Taekwondo di sekolah tersebut.
Dianggarkan sekitar 40 orang pelajar SK Kampong Padang, Kuantan menghadiri kelas percubaan pada hari tersebut dan masih ada 2 sessi kelas percubaan lagi yang akan diadakan pada bulan ini iaitu pada 24 & 30 Januari 2009 pada hari Ahad jam 8.00 pagi.
Pada minggu ini, pihak sekolah telah mengedarkan surat makluman mengenai kelab Taekwondo kepada semua pelajar di SK Kampong Padang. Diharapkan kelas pada hari Ahad ini akan mendapat sambutan yang lebih baik daripada pelajar-pelajar SK Kampong Padang.

Thursday, January 15, 2009

Kelab Taekwondo WTF SK Pandan, Kuantan

Pada hari Rabu (14 Januari 2009), Puan Maznah, Guru Besar baru SK Pandan telah singgah untuk melihat pelatih-pelatih Taekwondo semasa sessi latihan jam 4.00 petang pada hari tersebut di Dewan Terbuka SK Pandan.
Beliau amat kagum dengan wujudnya kelas Taekwondo di situ kerana sememangnya sudah menjadi cita-cita beliau untuk mewujudkan kelab Taekwondo di sekolah tersebut. Beliau telah melapor diri sebagai Guru Besar baru bagi SK Pandan pada awal tahun 2009 dan sebelum ini beliau adalah Guru Besar bagi SK Batu 3, Kuantan. Semasa beliau di SK Batu 3, beliau amat berbangga dengan prestasi kelab Taekwondo yang ada di sekolah tersebut. Dan beliau berharap agar prestasi yang sama akan ditunjukkan oleh Kelab Taekwondo WTF SK Pandan ini.
Sebelum ini kelas Taekwondo di SK Pandan diadakan sebagai aktiviti luar atau aktiviti tambahan di sekolah tersebut. Beliau menyambut baik cadangan ETC bagi mewujudkan Kelab Taekwondo WTF SK Pandan yang rasmi di sekolah tersebut. Beliau juga meminta agar jurulatih Mohd Azlan dapat berhubung dengan GPK Kokurikulum SK Pandan, Puan Norasyikin untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.
Ribuan terima kasih dikalungkan kepada Puan Maznah dan kami di ETC serta pelatih-pelatih Taekwondo di SK Pandan amat berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh beliau.

Tuesday, January 13, 2009

ETC sokong kempen anti-Israel & boikot produk Amerika

Kami di ETC menyokong penuh kempen anti-Israel dan memboikot semua produk-produk Amerika Syarikat. Kekejaman yang dilakukan oleh Israel ke atas bumi Palestin/Gaza tidak dapat dimaafkan. Israel yang zalim itu dengan tidak berperikemanusiaan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa terutama wanita dan kanak-kanak. Israel sememangnya layak untuk digelar NEGARA PENGGANAS...
Selama berpuluh tahun Israel melakukan kekejaman di bumi Palestin tanpa dapat disekat oleh mana-mana kuasa besar seperti PBB atas sokongan sekutunya, Amerika Syarikat. Amerika Syarikat tidak layak menggelarkan pihak lain sebagai pengganas kerana Amerika Syarikat sendiri adalah penyokong keganasan dan Amerika Syarikat sendiri adalah pengganas kerana bersekutu dengan Israel dan menyerang negara-negara lain seperti Iraq.
ETC tidak nampak bakal presiden baru Amerika, Barack Obama dapat melakukan perubahan ke atas pemerintahan Amerika Syarikat. ETC juga yakin bahawa Amerika Syarikat di bawah pentadbiran presiden barunya tidak dapat menyekat tindakan Israel daripada menyerang Palestin.
Negara manakah lagi bakal menjadi sasaran Amerika Syarikat dan Israel selepas ini?
Yang pasti, ia adalah sebuah negara Islam.