Keputusan itu dibuat berikutan beberapa aduan oleh pekerja-pekerja pembersih (cleaner) yang mendakwa pihak ETC serta pelajar-pelajar telah mengotorkan dewan tersebut semasa menggunakan dewan tersebut untuk latihan Taekwondo pada setiap hari Sabtu pada jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari.
Antara dakwaan lain yang telah ditujukan kepada kami adalah pihak kami tidak mematikan lampu dan kipas, tidak menyusun kerusi setelah digunakan serta tidak menutup pintu dewan setelah digunakan selepas latihan. Dan satu tuduhan yang agak besar yang dilemparkan kepada kami adalah kami telah merosakkan salah satu tombol pintu dewan tersebut.
Guru besar sekolah tersebut juga mendakwa pernah mengadakan "spot-check" di dalam dewan tersebut dan menemui plastik pembungkus air yang tersangkut pada cermin dewan dan mendakwa plastik tersebut adalah dari pelatih-pelatih kami yang mengikuti latihan Taekwondo.
Kami menyangkal kesemua dakwaan tersebut kerana kami amat menjaga kebersihan serta keselamatan dewan serta peralatan-peralatan di dalam dewan tersebut. Itu adalah diantara disiplin yang kami pupuk kepada semua pelatih-pelatih kami.
Kami tidak menafikan bahawa mungkin kami terlepas pandang terhadap sampah-sampah kecil seperti pembalut gula-gula yang telah dibuang oleh pelatih-pelatih kami yang tidak dikutip selepas waktu latihan. Tetapi dakwaan Guru Besar mengatakan bahawa plastik pembungkus air yang tergantung di cermin dewan tersebut adalah perbuatan pelatih kami adalah tidak berasas kerana kesemua pelajar kami tidak membawa air yang dibungkus dengan plastik. Kantin yang menjual air di dalam bungkusan tersebut juga tidak dibuka semasa hari Sabtu iaitu semasa kami menjalankan latihan. Tetapi, jika difikirkan kembali, sekiranya terdapat sampah sekeping dua yang kami terlepas pandang di dalam dewan tersebut, sudah menjadi tanggungjawab kepada pekerja-pekerja pembersih (cleaner) untuk membersihkan dewan tersebut kerana mereka dibayar gaji oleh pihak sekolah untuk kerja-kerja pembersihan.
Kami juga tidak menafikan terdapat beberapa orang pelatih kami yang tidak mempunyai disiplin yang bagus tetapi tidak masuk akal sekiranya mereka memecahkan tombol pintu semata-mata untuk menunjuk hebat. Dan sekiranya Guru Besar mempunyai bukti yang secukupnya untuk mendakwa pelajar kami yang melakukan perkara tersebut, kami akan mengaku salah dan membayar kesemua kerugian yang ditanggung oleh pihak sekolah.
Manakala lampu, kipas serta pintu dewan akan ditutup oleh jurulatih sendiri setelah memastikan kesemua pelatih keluar dari dewan serta memastikan keadaan dewan kembali seperti asal. Dan jurulatih juga akan memastikan kesemua pelajar telah keluar dari kawasan sekolah barulah bertolak ke kelas seterusnya.
Pihak kami telah mendengar beberapa kali aduan atau komplen daripada pekerja pembersih (cleaner) sekolah tersebut yang menyatakan kami tidak menutup lampu & kipas dewan, tidak menutup pintu serta tidak menyusun kerusi setelah digunakan. Tetapi malangnya aduan atau komplen itu diberitahu kepada pelajar-pelajar kami yang berusia 10 - 12 tahun oleh pekerja-pekerja tersebut dan bukannya kepada jurulatih yang mengajar di situ. ETC beranggapan bahawa tindakan pekerja-pekerja tersebut TIDAK MATANG kerana berurusan dengan kanak-kanak tidak dengan orang dewasa.
Walaubagaimana pun, pihak kami menerima aduan pertama itu dengan terbuka dan seterusnya memastikan segala dakwaan itu tidak akan berlaku lagi (sekiranya dakwaan itu benar). Tetapi malangnya dakwaan demi dakwaan yang kami terima oleh pekerja-pekerja tersebut walaupun segala tindakan yang kami buat untuk menjaga kebersihan serta keselamatan dewan tersebut telah diambil dan akhirnya keputusan TIDAK DIBENARKAN menggunakan dewan telah dimaklumkan secara lisan oleh guru besar.
Kami menerima keputusan daripada Guru Besar tersebut, tetapi kami amat berharap agar Guru Besar agar menyiasat perkara ini dengan teliti. Guru Besar tersebut telah menyatakan bahawa pekerja-pekerja pembersih itu adalah "MATA" dan "KEPALA" beliau dan apa yang diperkatakan oleh pekerja-pekerja pembersih itu adalah kata-katanya juga.
"Saya terpaksa mengambil tindakan untuk tidak membenarkan kelas Taekwondo diadakan di dewan ini adalah demi kepentingan pelajar-pelajar sekolah ini" kata Guru Besar tersebut kepada Jurulatih Mohd Azlan disaksikan oleh bekas ketua pelatih Taekwondo SK Sg Talam, Muhammad Lutfi. ETC tidak memahami apa sebenarnya maksud kata-kata Guru Besar tersebut tetapi atas dasar hormat kami hanya mengucapkan terima kasih dan beredar dari dewan tersebut tanpa mempertikai kata-katanya itu.
Walaubagaimana pun, kami dibenarkan menggunakan tempat terbuka seperti gelanggang bola keranjang SK Sg Talam atau di kaki lima yang terdapat di sekolah tersebut. Gelanggang bola keranjang sekolah tersebut tidak mempunyai bumbung dan matahari seolah-oleh berada tegak di atas kepada mulai jam 8.30 pagi hingga jam 5.30 petang dan tidak sesuai untuk kami mengadakan kelas disitu.
Kami telah mengadukan hal ini kepada pihak PIBG SK Sg Talam, Kuantan dan berharap perkara ini dapat dibincangkan semua dengan Guru Besar kerana sekiranya pelatih-pelatih ini menyertai serta memenangi sebarang kejohanan, mereka akan membawa bersama nama baik bagi pihak SK Sg Talam, Kuantan dan bukannya nama ETC mahupun KTA.
Diharapkan perbincangan semula dengan Guru Besar pada masa akan datang akan memperolehi keputusan yang positif demi kebaikkan pelatih-pelatih sekolah tersebut. Majulah Sukan Taekwondo Untuk Negara (serta SK Sg Talam, Kuantan).
No comments:
Post a Comment