Thursday, October 29, 2009

Terima Padah

Petikan daripada artikel MyMetro
Oleh Bazly Azmi


KEMELUT dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) mengakibatkan acara itu digugurkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Melaka 2010 selain berdepan ancaman tidak dihantar menyertai Sukan Sea Laos, Disember depan.Paling jelas, kegagalan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MTA menyaksikan hanya cadangan penyenaraian sukan itu pada Sukma 2010, ditolak ketika sembilan lagi sukan diterima Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tertinggi Sukma, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek , mengakui kecewa dengan kegagalan MTA mencari penyelesaian terutamanya dengan hasil EGM dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar, Sabtu lalu “Saya masih belum menerima laporan penuh EGM itu namun, Tunku Imran ada menelefon memaklumkan ia gagal mencapai kata sepakat. Perkara ini mengecewakan kerana Sukma hanya berbaki kurang tujuh bulan lagi dan paling penting, penyertaan taekwondo ke Laos turut belum dipastikan.


“Jadi, kami akan membuat kajian penyertaan sukan ini ke Laos dan ia akan ditentukan jawatankuasa ad hoc,” katanya dalam sidang media.

Sembilan sukan diterima ialah Formula Future, kanu, golf, tenis, ragbi, bola tampar, kabaddi, judo, lawan pedang sementara dua disiplin ditambah dalam akuatik iaitu renang berirama serta polo air.

Ia menyaksikan Sukma ke-13 di Melaka, yang tarikhnya turut ditukar kepada 10-19 Jun depan, kini membabitkan 34 jenis acara dengan setiap acara wajib disertai sekurang-kurangnya lapan negeri.

Taekwondo turut di ambang kegelapan apabila Shabery membayangkan akan memanjangkan isu terbabit kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dinilai semula statusnya sebagai aktiviti ko-kurikulum sekolah seluruh negara.“Sukan berteraskan semangat tolak ansur dan setia kawan, namun jika pegawai persatuan sukan bersikap mementing diri, apa lagi yang tinggal untuk atlit dan pelajar yang menyertainya?"

Ia contoh yang tidak baik dan akan memberi kesan negatif terutamanya kepada pelajar sekolah.

“Selagi boleh, jangan sampai kerajaan mahu campur tangan dan kerana itu, saya selagi boleh masih tidak mahu gunakan kuasa KBS kerana kesannya akan berbeza (teruk).Jadi, saya minta perkara ini diselesaikan segera,” katanya.Sementara itu, mesyuarat dengan wakil persatuan negeri turut membincangkan langkah membantu Perlis, penganjur Sukma 2012, menyediakan infrastruktur menganjurkan temasya sukan terbesar negara itu.

P/S : ETC sebenarnya dari awal lagi sudah menjangkakan hal ini pasti akan berlaku dan akan menjadi lebih buruk lagi. Kesan daripada kegagalan MTA ini mengakibatkan banyak aktiviti atau program tidak dapat diadakan, lebih buruk lagi atlet-atlet Taekwondo tidak dapat menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti SUKMA, Sukan Sea dan mungkin juga Sukan Olimpik 2012.
Manakala diperingkat daerah, masalah perebutan pusat latihan di sekolah-sekolah masih berlaku, persatuan atau kelab yang bernaung di bawah MTA, MTF serta MTCA berperang mengakui mereka adalah persatuan atau kelab yang diiktiraf, masing-masing mengemukakan dokumen-dokumen berfail-fail seperti surat dari MSN, KBS, Majlis Sukan Negeri malah ada juga yang membawa petikan-petikan artikel seperti ini yang diambil dari akhbar-akhbar tempatan.
Masalah juga timbul kepada pemegang blackbelt serta Jurulatih yang ingin menduduki "Senior Up Grading" kerana masing-masing menunggu untuk menduduki ujian tersebut dibawah MTA kerana dibimbangi sekiranya menduduki ujian tersebut dibawah MTF atau MTCA, kelak kenaikkan mereka tidak diiktiraf. Tetapi malangnya sekian lama menunggu, masalah penyatuan MTA ini masih tidak lagi berjaya.
Malang sungguh bagi sukan berpotensi tinggi ini kerana disebabkan beberapa "orang tua" yang menerajui MTA selama ini, pelatih-pelatih, atlet-atlet berpotensi serta jurulatih-jurulatih menerima padah yang sangat buruk.

Saturday, October 10, 2009

Tunggu keputusan ad hoc

Petikan dari artikel MyMetro
Oleh Nor Hairulnizam
Wahidhairulnizam@hmetro.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berharap persatuan taekwondo negeri menurut kehendak jawatankuasa ad hoc demi memastikan masalah dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) segera berakhir.

“Saya berharap persatuan negeri bersabar dan memberi peluang kepada jawatankuasa ad hoc melaksanakan keputusan,” katanya ketika menjawab satu lagi permasalahan baru yang wujud dalam persatuan sukan tempur itu, kali ini mengenai kuasa undian yang diberikan terhadap kelab perdana.Jelasnya permasalahan dalam MTA bukan perkara baru, justeru apa saja keputusan jawatankuasa ad hoc yang diterajui Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar mungkin tidak dipersetujui sesetengah pihak.

Apa yang pasti katanya, apa yang berlaku dalam MTA bukan masalah dalaman tapi juga berkaitan dengan sistem pertubuhan kelab berkenaan yang saling berselisih di peringkat antarabangsa hingga terbawa-bawa dalam organisasi persatuan tempatan.

“Jika tidak atlit akan menjadi mangsa dan tidak berpeluang bertanding di luar negara, apatah lagi Sukan Sea semakin hampir,” katanya ketika majlis rumah terbuka Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Taekwondo Selangor, Dr Yusof Hashim meluahkan rasa bimbang mengenai kuasa undian yang diberikan kepada kelab taekwondo berstatus kelab perdana untuk mengundi calon pilihan mereka dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) MTA yang dijadualkan pada 27 Disember depan.

Mereka beranggapan, kehadiran kelab perdana memberi kesan struktur kepemimpinan persatuan terbabit selepas ini, berbanding kuasa memilih yang diberi terhadap negeri sebelum ini meskipun menerima tambahan dua undi bagi setiap negeri.

Begitupun Ahmad Shabery menafikan pernah mengeluarkan arahan MTA akan dibubarkan sekiranya persatuan terbabit enggan menerima keputusan jawatankuasa ad hoc tapi meminta mereka berunding demi memastikan atlit dapat dihantar menyertai Sukan Sea.

MTA sedia bentang perlembagaan baru

Petikan dari artikel MyMetro
Oleh Nor Hairulnizam

SELEPAS 18 minggu bermesyuarat, akhirnya jawatankuasa ad hoc Persatuan Taekwondo
Malaysia (MTA) yang ditugaskan menangani kemelut penyatuan dalam kelab taekwondo itu berjaya meminda satu perlembagaan baru sebelum jawatankuasa baru kelab itu dipilih pada 27 Disember ini menerusi Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM).

“Ia sudah hampir sedia untuk dibentangkan,” kata Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Roy Rajasingham selepas mengendalikan taklimat jawatankuasa terbabit bersama persatuan taekwondo negeri di MOM petang semalam.Jelasnya, tarikh 24 Oktober dipilih sebagai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membentangkan perlembagaan itu untuk diteliti dan dibincangkan bersama anggota MTA lainnya.

“Selepas itu, kami akan adakan BGM untuk memilih jawatankuasa baru. Untuk tahun yang baru ini, kita akan mempunyai perlembagaan baru, pemimpin yang baru, ahli jawatankuasa yang baru dan lembaga eksekutif yang baru,” katanya.

Begitupun sesuatu berbeza kali ini ialah hak mengundi yang turut diberikan kepada kelab perdana, iaitu antara elemen yang menonjol dalam pindaan perlembagaan itu, meskipun sebelum ini ia mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Setiap kelab mempunyai hak satu undian, badan kerajaan iaitu tentera, polis dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dua undian dan setiap negeri berhak mendapat tiga undian.

“Begitupun kami belum memutuskan jumlah sebenar kelab perdana dibenarkan mengundi mungkin ia akan diberitahu selepas ini,” katanya yang menjelaskan hanya kelab memenuhi syarat diberi hak untuk mengundi.Masalah dalaman MTA yang bermula sejak 2005 berlanjutan hingga hari ini, membabitkan campur tangan tiga Menteri Belia dan Sukan hingga pernah digantung dua tahun. sebelum kembali bernafas pada 2007, tetapi masalah itu semakin parah hingga jawatankuasa ad hoc yang dipengerusikan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar ditugaskan untuk menangani isu terbabit.

“Segala-galanya dapat diselesaikan dengan cepat. Kami berjaya menyatukan semua pihak dan dapat meminda perlembagaan. Kami berharap MTA selepas ini bukan hanya diterima di Malaysia tetapi juga dapat mengambil bahagian dalam kejohanan luar negara,” katanya.

Wednesday, September 9, 2009

H1N1, Permulaan Kepada Bencana


Bermula pada pertengahan Julai 2009, H1N1 telah merebak di seluruh Malaysia secara drastik yang mengakibatkan 74 orang maut di Malaysia sahaja. Penularan penyakit ini telah melumpuhkan pelbagai sudut ekonomi negara serta mengakibatkan kerugian kepada banyak pihak.
Secara tidak langsung, kami di ETC juga mengalami masalah yang sama. Kehadiran pelatih ke kelas Taekwondo hanya 20%, ini berikutan kebimbangan ibubapa/penjaga pelatih terhadap jangkitan H1N1 semasa latihan Taekwondo serta penutupan sekolah oleh kerana dikuarantin selama seminggu hingga 2 minggu.
Sebagai langkah berjaga-jaga jurulatih kami diwajibkan memakai penutup muka (mask) bagi mengelakkan jangkitan virus ini. Kami juga menggalakkan para pelatih untuk memakai penutup muka sepanjang mengikuti latihan.
Kini kehadiran pelajar ke kelas latihan Taekwondo semakin parah kerana kehadiran bulan Ramadhan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, latihan semasa bulan Ramadhan kurang mendapat sambutan dari para pelatih. Keadaan ini menjadi bertambah rumit apabila ibubapa/penjaga juga tidak membenarkan anak mereka untuk menghadiri kelas Taekwondo sepanjang bulan Ramadhan kerana mereka mendakwa anak mereka penat atau tidak larat untuk menghadiri kelas latihan.
Untuk pengetahuan semua, kelas latihan pada bulan Ramadhan diadakan selama 1 jam 30 minit sahaja. Bukan 2 jam seperti waktu latihan biasa. Latihan-latihan yang diadakan cuma latihan ringan dan latihan yang berkaitan dengan ujian kelayakkan tali pinggang yang akan diadakan pada 18 Oktober 2009. Pelatih juga akan diberikan rehat dengan lebih kerap, tidak perlu "shout" serta tidak melakukan aktiviti berat seperti berlari, push-up dan sebagainya.
Hanya tinggal 2 minggu lagi latihan yang perlu diadakan di dalam bulan Ramadhan. Diharapkan semua pelajar dapat hadir bagi persediaan menduduki ujian kelayakkan tali pinggang yang akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Thursday, May 7, 2009

Ada Penyelesaian: Nik Mahmud


KEBUNTUAN bertahun-tahun, mahu dinoktahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) apabila menegaskan cahaya sudah kelihatan di hujung terowong berhubung isu Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).
Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf, menyuarakan keyakinan, sukan taekwondo dapat dimasukkan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) menjelang Jun depan, tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini untuk persatuan itu menyelesaikan segala kemelut.
“Laporan yang saya terima mendapati, semua pihak yang bertelagah sudah pun duduk semeja membincangkan proses menerima masuk semua persatuan serpihan MTA sebelum ini,” katanya.
Nik Mahmud berkata, PJS menjangkakan segala isu berkaitan dengan perlembagaan baru serta beberapa pindaan yang berkaitan dapat diterima oleh ahli MTA sedia ada demi memastikan kemelut dalaman MTA dapat diselesaikan segera.
“Mungkin proses untuk usaha mengadakan mesyuarat agung MTA akan mengambil masa sejajar dengan perlembagaan persatuan itu dan ia diikuti proses menerima keahlian dan membentuk sebuah persatuan yang kukuh.
“Kami di PJS yakin isu ini dapat diselesaikan atas dasar semangat kesukanan dan berharap semua pihak yang terbabit, dapat bertolak ansur bagi memastikan atlit tidak teraniaya,” katanya.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberikan tempoh sehingga Jun ini bagi MTA menyelesaikan segala isu berbangkit, termasuk menerima kembali semua persatuan serpihan MTA.
Terkandung dalam arahan itu adalah, MTA dan pihak lain yang bertelagah, perlu menggugurkan semua kes di mahkamah berkaitan dengan persatuan itu, termasuk saman MTA terhadap Pesuruhjaya Sukan.
Ketika ini, wujud dua puak yang saling mendakwa mereka pemimpin yang sah MTA selain dua kumpulan serpihan, Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA) dan Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF).
PJS yang kembali menubuhkan jawatankuasa adhoc selepas beberapa jawatankuasa seumpama sebelum ini gagal, yakin kemampuan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Jaa’far yang mengetuai jawatankuasa kali ini, mampu menamatkan kemelut itu. ~Berita Harian (5 Mei)

NOTA : Pendaftaran Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS)yang dipengerusikan oleh jurulatih Mohd Azlan Bin Mohd Nawi juga telah terjejas akibat daripada hal-hal yang berkaitan dengan perpecahan antara MTA, MTF dan MTCA.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana kelab-kelab baru seperti kami yang akan akan berurusan dengan pihak pendaftar atau mana-mana jabatan kerajaan yang lain akan menjadi lebih mudah. ETC yakin bukan hanya kami yang mengalami masalah ini, terdapat banyak lagi kelab-kelab baru yang ingin mendaftar atau ingin menjalankan pelbagai aktiviti terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana masalah-masalah yang berkaitan dengan hal-hal ini.

Wednesday, May 6, 2009

Impian Tunku Imran Supaya Sukan Negara Maju Ke Depan

Tunku Imran - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM)

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Penyelarasan yang baik antara pelbagai kementerian dan iltizam politik yang perlu datang daripada perdana menteri merupakan satu cara untuk maju ke depan bagi mewujudkan budaya sukan di Malaysia, menurut seorang pegawai tertinggi sukan negara.Presiden Majlis Olympik Malaysia (OCM) Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar berkata semua kementerian perlu mendahului yang lain dalam bidang sukan, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis-majlis Sukan dalam usaha bersepadu bagi membangunkan sukan."Saya berpendapat perlu ada iltizam politik bagi perkara ini dan saya fikir ia perlu datang daripada perdana menteri memandangkan bidang sukan adalah satu perkara yang merentasi kementerian yang sebenarnya kita perlukan perdana menteri untuk mengarahkan apa yang sepatutnya berlaku," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Tunku Imran berkata beliau mendapat banyak galakan hasil pandangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik Datuk Ahmad Shabery Cheek berhubung hala tuju sukan Malaysia yang diimpikannya."Saya suka dengan apa yang dikatakannya, perkara pertama adalah wujudkan budaya sukan, kedua, kita memerlukan pingat emas Sukan Olimpik yang sukar diperolehi dan kita akan berusaha mendapatkannya dan perkara ketiga, bidang sukan telah menjadi satu bidang perniagaan dan industri di mana peluang yang begitu besar kepada pemain, jurulatih dan masyarakat umumnya mahu memperoleh pendapatan untuk kehidupan.

"Apa yang perlu berlaku ialah memberi sedikit masa di dalam kurikulum sekolah dan sudah tentu sejam dalam seminggu tidak mencukupi dan ia perlu difikirkan semula secara mendalam berhubung perkara itu," kata Tunku Imran.Katanya secara realistik 90 peratus daripada murid sekolah yang bersukan hanya untuk tujuan kesihatan dan riadah semata-mata dan hanya 10 peratus sahaja boleh diharapkan untuk terus melangkah menyertai sukan elit sama ada bagi pertandingan peringkat kebangsaan, wilayah atau antarabangsa.

Bagi pandangannya, sukan perlu disertai dengan usaha serampang dua mata, pertamanya bagi mendapatkan khalayak yang bersukan atau berminat dalam sukan dan bagi mereka yang merasakan bahawa sukan itu sebenarnya menarik dan keduanya untuk mengenalpasti mereka yang mahu menceburi sukan elit atau ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bergiat dalam sukan berkenaan.

Tunku Imran berkata setiap sekolah sepatutnya mempunyai kelab sukan yang menumpukan perhatian kepad atlet elit dan untuk membantu mereka supaya benar-benar aktif di dalam sukan dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

"Kelab-kelab sukan sedemikian perlu aktif pada hujung minggu seperti pagi Sabtu atau tengah hari dan menggunakan kemudahan sekolah untuk tujuan itu. Jika anda memandu sekitar hari Sabtu, kemudahan sekolah ditutup terus..mereka mempunyai banyak padang yang cantik tanpa sebarang kegiatan dan ia hampir menjadi satu kesalahan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya semua sekolah diberikan kemudahan seperti sekurang-kurangnya seorang jurulatih dan peralatan yang tidak semestinya mahal dan sekurang-kurangnya seorang atau dua orang pakar untuk menganjurkan sukan secara terancang dan profesional.

"Apa yang jelas, jika sekolah hanya mempunyai seorang jurulatih, sama ada lelaki atau wanita, akan bertugas terus menerus. Ia perlu ada satu peruntukan bagi jurulatih sambilan, pengadil sambilan dan lain-lain.

"Setiap persatuan sukan di negara ini sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan perlu ada orang yang hanya perlu ditanya dan mereka akan sanggup melakukannya kerana kecintaan mereka terhadap sukan," kata Tunku Imran.Menurut beliau, mereka yang membuat kerja sambilan ini boleh diambil untuk membantu kelab sukan sekolah-sekolah dan para pemain elit semasa hujung minggu sementara sekolah-sekolah perlu berhimpun dan mewujudkan liga.

Bagi 10 peratus bakat-bakat sukan yang mencapai gred yang baik bagi sukan-sukan elit, pada asasnya perlu dipertandingkan setiap minggu semasa di luar tempoh peperiksaan dengan mengadakan liga antara sekolah seperti untuk Tingkatan 1 dan 2, Tingkatan 3 dan 4 dan Tingkatan 5 dan 6.

Dan Tunku Imran juga menegaskan peranan penting ibu bapa bagi mengesan bakat-bakat sukan.Seperti katanya: "Saya pasti ibu bapa sudah tentu gembira untuk memandu anak-anak mereka ke sekolah atau ke sekolah lain, jika ia adalah satu perlawanan di tempat yang jauh..mereka akan duduk dengan anak-anak mereka.

Saya fikir kita tidak pernah membawa sama ibu bapa secukupnya dalam perkara ini."Di Amerika dan Australia, ibu bapa merupakan mereka yang menjadi pemandu, pengadil, jurulatih dan segala-galanya."Jadi, saya fikir terdapat banyak sukarelawan dan kebanyakan daripada mereka adalah ibu bapa yang sudah pasti gembira untuk berada bersama-sama dengan anak-anak mereka pada pagi Sabtu atau menghantar dan mengambil anak-anak mereka kemudian dan saya fikir perkara inilah yang tidak berlaku dan ia adalah satu perkara yang sedih di negara ini," katanya.

Tunku Imran berkata "penyelarasan adalah segala-galanya" dan Kementerian Belia dan Sukan perlu mendahului dalam sukan di sekolah, universiti dan kawasan di bawah pihak berkuasa tempatan.Ketika ditanya mengenai bagaimana bakat-bakat sukan negara dilahirkan, pentadbir sukan veteran itu berkata sumber terbesar sebenarnya adalah melalui ibu bapa."Jika anda lihat setiap individu bergelar juara yang telah kita lahirkan, pengaruh ibu bapa adalah amat besar. Nicol David (skuasy), adik beradik Sidek (badminton).

Mereka perlu bermula di mana-mana, dan di dalam skuasy yang merupakan satu contoh yang baik, anda boleh melahirkan seorang juara dunia tanpa atau sekalipun melalui sistem sekolah," katanya. Sambil menyifatkan Nicol, juara skuasy dunia, sebagai contoh klasik, Tunku Imran, yang juga bekas juara skuasy kebangsaan, berkata Nicol dan begitu juga dengan rakannya Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar tidak mempelajari skuasy semasa di sekolah.

"Mereka belajar skuasy kerana ibu bapa mereka memperkenalkan mereka kepada permainan itu dan mereka bermain di kelab atau gelanggang awam dan begitu lah bagaimana ia berlaku kepada sesetengah individu yang menceburi sukan.

Ia juga boleh berlaku dalam seni mempertahan diri seperti taekwondo dan karate di mana atlet-atlet kita dapat mara ke Olimpik kerana ibu bapa mereka memasukkan mereka ke dalam kelab atau akademi dan jika benar-benar bertekad mereka sebenarnya boleh menjadi juara tanpa melalui sistem sekolah.

Sambil mengulangi kepentingan penyelarasan, Tunku Imran berkata: "Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput oleh Kementerian Pelajaran bagi membantu mereka memantapkan sukan di sekolah-sekolah."Jika tidak, tiada penyelarasan.

Adalah penting jika kita hendak membelanjakan wang yang banyak dalam usaha melahirkan juara oleh Kementerian Belia dan Sukan, mereka perlu tahu bahawa perkara yang akan diperolehi nanti adalah dalam standard tertentu..jika ianya tidak baik, mereka tidak akan mampu untuk menjadi juara," katanya.-- Azman Ujang, BERNAMA

Wednesday, April 29, 2009


Sunday, April 19, 2009

Kemelut MTA boleh selesai

Harian Metro, 19 April 2009
Oleh - NOR HAIRULNIZAM WAHID

ISU membabitkan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) boleh diselesaikan segera sekiranya dua perkara besar iaitu penerimaan ahli dan pindaan perlembagaan persatuan itu dapat diterima sebulat suara beberapa pihak dalam persatuan itu.Hal itu diakui Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusof (gambar) yang berkata, MTA diberi tempoh sehingga Jun depan untuk menyelesaikan kemelut dalaman persatuan terbabit bagi memastikan perkembangan sukan itu tidak lagi menjadi mangsa.Ketika ini, MTA digantung keahliannya bagi memberi laluan kepada jawatankuasa ad-hoc memikirkan formula terbaik bagi meminda perlembagaan sebelum diadakan pemilihan jawatankuasa baru persatuan terbabit.Menurutnya, sepanjang tempoh itu dua mesyuarat utama akan diadakan iaitu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk pemilihan jawatankuasa.
“Semua pihak mahu perkara itu cepat selesai, tetapi mereka perlu mengikut peraturan,” katanya.
Jelasnya, apa yang dimaksudkannya ialah tempoh notis panggilan untuk mengadakan EGM perlu dibuat dalam tempoh 21 hingga 30 hari manakala notis untuk AGM dalam tempoh 30 hingga 45 hari.“Jika urusan penerimaan atlit dan pindaan perlembagaan berjalan lancar, tidak mustahil perkara itu dapat diselesaikan lebih awal.
“Lagipun dalam mesyuarat jawatankuasa ad-hoc terdahulu yang sudah pun dibubarkan, soal pindaan perlembagaan juga sudah dibincangkan dan saya fikir tidak banyak pindaan perlu dilakukan kerana ia membabitkan anggota yang sama,” katanya.
Isu berkenaan yang bermula sejak 2005 apabila MTA dibatalkan pendaftarannya, kembali bergolak dua tahun berikutnya apabila wujud dua ‘puak’ dalam MTA, tidak termasuk kewujudan dua lagi entiti yang turut memperjuangkan taekwondo iaitu Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).
Ia kemudiannya mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudiannya mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit yang akhirnya setuju untuk berdamai.Jawatankuasa terbabit yang membabitkan MTA, MTCA, MTF, Majlis Sukan Negara serta wakil Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran itu dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Tiga Bulan Selesaikan Masalah MTA - Pesuruhjaya Sukan

KUALA LUMPUR, 12 April - Pesuruhjaya Sukan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof menjangkakan kemelut yang melanda Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.
Beliau berkata pergolakan yang berlarutan semenjak Jun 2004 sehingga pembatalan MTA pada pertenganan 2005 masih boleh diselesaikan secara aman.
“Lagipun kita sudah mendapat restu daripada Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terhadap penubuhan jawatankuasa ad-hoc untuk menyelesaikan masalah MTA dengan segera.
“Pejabat Pesuruhjaya telah menerima persetujuan penubuhan jawatankuasa itu daripada Menteri Belia dan Sukan Jumaat lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.Nik Mahmud yakin dengan perkembangan tersebut masalah dalaman MTA akan diselesaikan dalam masa terdekat yang mana akan turut memberi kebaikan kepada atlet taekwondo negara terutamanya bagi menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar serta dianggotai ahli-ahli daripada MTA, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab-kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).
Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam semua hal-ehwal pentabiran MTA serta membuat cadangan bagi meminda perlembagaan terutama berhubung aspek keahlian dalam persatuan tersebut.
“Menerusi usaha itu, kita yakin masalah yang membelenggu persatuan ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu akan bermesyuarat untuk kali pertama pada Jumaat ini.
Pergolakan sukan taekwondo negara bermula pada Jun 2004 ekoran krisis dalaman MTA, badan induk sukan taekwondo negara, yang membawa kepada peletakkan jawatan Pengerusinya, Jimmy Choo.
Nasib malang terus menimpa sukan taekwondo apabila MTA dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan pada pertengahan 2005.
– BERNAMA

Sunday, April 12, 2009

Petikan Akhbar : NST - 9 April 2009

MTA suspended, ad hoc committee to resolve crisis
NST Online : 9 April 2009
Link : http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Thursday/Sport/20090409080857/Article/index_html
By DEVINDER SINGH








Datuk Nik Mahmud Nik Yusof


THE Malaysian Taekwondo Association (MTA) has been suspended pending the formulation of a new constitution to get the national body back on its feet.
Sports Commissioner Datuk Nik Mahmud Nik Yusof said the suspension was necessary to allow the setting up of an ad hoc committee of the various stakeholders in the sport to meet and resolve the long-running MTA saga."This is merely a procedural matter to allow for the formation of the ad hoc committee and settle matters pertaining to the constitution and membership," Nik Mahmud said."It has been agreed by all the parties involved and letters of appointment for the ad hoc committee will be sent out this week."MTA has been embroiled in a leadership dispute for almost two years and Sports Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub late last year directed Nik Mahmud to bring all factions together to resolve the issue by the middle of this year.
The committee will comprise representatives of MTA, rival bodies the Malaysian Taekwondo Federation and the Malaysian Taekwondo Club Association, National Sports Council and the Sports and Education ministries.Olympic Council of Malaysia president Tunku Imran Tuanku Ja'afar will chair the committee, which has been given three months to resolve all issues."We received the approval from the minister to set up the ad hoc committee last week. We are looking at a period of three months to conclude the process," said Nik Mahmud."The first meeting will likely be held sometime next week where they will discuss the new constitution, application of new members and the holding of an election to elect new office bearers."