KEBUNTUAN bertahun-tahun, mahu dinoktahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) apabila menegaskan cahaya sudah kelihatan di hujung terowong berhubung isu Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).
Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf, menyuarakan keyakinan, sukan taekwondo dapat dimasukkan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) menjelang Jun depan, tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini untuk persatuan itu menyelesaikan segala kemelut.
“Laporan yang saya terima mendapati, semua pihak yang bertelagah sudah pun duduk semeja membincangkan proses menerima masuk semua persatuan serpihan MTA sebelum ini,” katanya.
Nik Mahmud berkata, PJS menjangkakan segala isu berkaitan dengan perlembagaan baru serta beberapa pindaan yang berkaitan dapat diterima oleh ahli MTA sedia ada demi memastikan kemelut dalaman MTA dapat diselesaikan segera.
“Mungkin proses untuk usaha mengadakan mesyuarat agung MTA akan mengambil masa sejajar dengan perlembagaan persatuan itu dan ia diikuti proses menerima keahlian dan membentuk sebuah persatuan yang kukuh.
“Kami di PJS yakin isu ini dapat diselesaikan atas dasar semangat kesukanan dan berharap semua pihak yang terbabit, dapat bertolak ansur bagi memastikan atlit tidak teraniaya,” katanya.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberikan tempoh sehingga Jun ini bagi MTA menyelesaikan segala isu berbangkit, termasuk menerima kembali semua persatuan serpihan MTA.
Terkandung dalam arahan itu adalah, MTA dan pihak lain yang bertelagah, perlu menggugurkan semua kes di mahkamah berkaitan dengan persatuan itu, termasuk saman MTA terhadap Pesuruhjaya Sukan.
Ketika ini, wujud dua puak yang saling mendakwa mereka pemimpin yang sah MTA selain dua kumpulan serpihan, Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA) dan Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF).
PJS yang kembali menubuhkan jawatankuasa adhoc selepas beberapa jawatankuasa seumpama sebelum ini gagal, yakin kemampuan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Jaa’far yang mengetuai jawatankuasa kali ini, mampu menamatkan kemelut itu. ~Berita Harian (5 Mei)
NOTA : Pendaftaran Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS)yang dipengerusikan oleh jurulatih Mohd Azlan Bin Mohd Nawi juga telah terjejas akibat daripada hal-hal yang berkaitan dengan perpecahan antara MTA, MTF dan MTCA.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana kelab-kelab baru seperti kami yang akan akan berurusan dengan pihak pendaftar atau mana-mana jabatan kerajaan yang lain akan menjadi lebih mudah. ETC yakin bukan hanya kami yang mengalami masalah ini, terdapat banyak lagi kelab-kelab baru yang ingin mendaftar atau ingin menjalankan pelbagai aktiviti terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana masalah-masalah yang berkaitan dengan hal-hal ini.
No comments:
Post a Comment