Sunday, April 19, 2009

Kemelut MTA boleh selesai

Harian Metro, 19 April 2009
Oleh - NOR HAIRULNIZAM WAHID

ISU membabitkan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) boleh diselesaikan segera sekiranya dua perkara besar iaitu penerimaan ahli dan pindaan perlembagaan persatuan itu dapat diterima sebulat suara beberapa pihak dalam persatuan itu.Hal itu diakui Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusof (gambar) yang berkata, MTA diberi tempoh sehingga Jun depan untuk menyelesaikan kemelut dalaman persatuan terbabit bagi memastikan perkembangan sukan itu tidak lagi menjadi mangsa.Ketika ini, MTA digantung keahliannya bagi memberi laluan kepada jawatankuasa ad-hoc memikirkan formula terbaik bagi meminda perlembagaan sebelum diadakan pemilihan jawatankuasa baru persatuan terbabit.Menurutnya, sepanjang tempoh itu dua mesyuarat utama akan diadakan iaitu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk pemilihan jawatankuasa.
“Semua pihak mahu perkara itu cepat selesai, tetapi mereka perlu mengikut peraturan,” katanya.
Jelasnya, apa yang dimaksudkannya ialah tempoh notis panggilan untuk mengadakan EGM perlu dibuat dalam tempoh 21 hingga 30 hari manakala notis untuk AGM dalam tempoh 30 hingga 45 hari.“Jika urusan penerimaan atlit dan pindaan perlembagaan berjalan lancar, tidak mustahil perkara itu dapat diselesaikan lebih awal.
“Lagipun dalam mesyuarat jawatankuasa ad-hoc terdahulu yang sudah pun dibubarkan, soal pindaan perlembagaan juga sudah dibincangkan dan saya fikir tidak banyak pindaan perlu dilakukan kerana ia membabitkan anggota yang sama,” katanya.
Isu berkenaan yang bermula sejak 2005 apabila MTA dibatalkan pendaftarannya, kembali bergolak dua tahun berikutnya apabila wujud dua ‘puak’ dalam MTA, tidak termasuk kewujudan dua lagi entiti yang turut memperjuangkan taekwondo iaitu Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).
Ia kemudiannya mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kemudiannya mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit yang akhirnya setuju untuk berdamai.Jawatankuasa terbabit yang membabitkan MTA, MTCA, MTF, Majlis Sukan Negara serta wakil Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran itu dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

No comments: