Sunday, April 19, 2009

Tiga Bulan Selesaikan Masalah MTA - Pesuruhjaya Sukan

KUALA LUMPUR, 12 April - Pesuruhjaya Sukan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof menjangkakan kemelut yang melanda Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini.
Beliau berkata pergolakan yang berlarutan semenjak Jun 2004 sehingga pembatalan MTA pada pertenganan 2005 masih boleh diselesaikan secara aman.
“Lagipun kita sudah mendapat restu daripada Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek terhadap penubuhan jawatankuasa ad-hoc untuk menyelesaikan masalah MTA dengan segera.
“Pejabat Pesuruhjaya telah menerima persetujuan penubuhan jawatankuasa itu daripada Menteri Belia dan Sukan Jumaat lepas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.Nik Mahmud yakin dengan perkembangan tersebut masalah dalaman MTA akan diselesaikan dalam masa terdekat yang mana akan turut memberi kebaikan kepada atlet taekwondo negara terutamanya bagi menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar serta dianggotai ahli-ahli daripada MTA, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF) dan Persatuan Kelab-kelab Taekwondo Malaysia (MTCA).
Jawatankuasa ini bertanggungjawab dalam semua hal-ehwal pentabiran MTA serta membuat cadangan bagi meminda perlembagaan terutama berhubung aspek keahlian dalam persatuan tersebut.
“Menerusi usaha itu, kita yakin masalah yang membelenggu persatuan ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu akan bermesyuarat untuk kali pertama pada Jumaat ini.
Pergolakan sukan taekwondo negara bermula pada Jun 2004 ekoran krisis dalaman MTA, badan induk sukan taekwondo negara, yang membawa kepada peletakkan jawatan Pengerusinya, Jimmy Choo.
Nasib malang terus menimpa sukan taekwondo apabila MTA dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan pada pertengahan 2005.
– BERNAMA

No comments: