Saturday, October 10, 2009

MTA sedia bentang perlembagaan baru

Petikan dari artikel MyMetro
Oleh Nor Hairulnizam

SELEPAS 18 minggu bermesyuarat, akhirnya jawatankuasa ad hoc Persatuan Taekwondo
Malaysia (MTA) yang ditugaskan menangani kemelut penyatuan dalam kelab taekwondo itu berjaya meminda satu perlembagaan baru sebelum jawatankuasa baru kelab itu dipilih pada 27 Disember ini menerusi Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM).

“Ia sudah hampir sedia untuk dibentangkan,” kata Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Roy Rajasingham selepas mengendalikan taklimat jawatankuasa terbabit bersama persatuan taekwondo negeri di MOM petang semalam.Jelasnya, tarikh 24 Oktober dipilih sebagai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membentangkan perlembagaan itu untuk diteliti dan dibincangkan bersama anggota MTA lainnya.

“Selepas itu, kami akan adakan BGM untuk memilih jawatankuasa baru. Untuk tahun yang baru ini, kita akan mempunyai perlembagaan baru, pemimpin yang baru, ahli jawatankuasa yang baru dan lembaga eksekutif yang baru,” katanya.

Begitupun sesuatu berbeza kali ini ialah hak mengundi yang turut diberikan kepada kelab perdana, iaitu antara elemen yang menonjol dalam pindaan perlembagaan itu, meskipun sebelum ini ia mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Setiap kelab mempunyai hak satu undian, badan kerajaan iaitu tentera, polis dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dua undian dan setiap negeri berhak mendapat tiga undian.

“Begitupun kami belum memutuskan jumlah sebenar kelab perdana dibenarkan mengundi mungkin ia akan diberitahu selepas ini,” katanya yang menjelaskan hanya kelab memenuhi syarat diberi hak untuk mengundi.Masalah dalaman MTA yang bermula sejak 2005 berlanjutan hingga hari ini, membabitkan campur tangan tiga Menteri Belia dan Sukan hingga pernah digantung dua tahun. sebelum kembali bernafas pada 2007, tetapi masalah itu semakin parah hingga jawatankuasa ad hoc yang dipengerusikan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar ditugaskan untuk menangani isu terbabit.

“Segala-galanya dapat diselesaikan dengan cepat. Kami berjaya menyatukan semua pihak dan dapat meminda perlembagaan. Kami berharap MTA selepas ini bukan hanya diterima di Malaysia tetapi juga dapat mengambil bahagian dalam kejohanan luar negara,” katanya.

No comments: