Monday, January 4, 2010

Ujian Kelayakkan Tali Pinggang: Diadakan Pada Hujung Januari 2010

\
Setelah mendapat pengesahan daripada Ketua Jurulatih Kuantan Taekwondo Academy (KTA), Master Micheal Tan Kim Chee, PJK., Ujian Kelayakkan Tali Pinggang pertama pada 2010 bakal diadakan pada penghujung Januari 2009. Beliau juga selaku Pemeriksa (Examiner) bagi ujian tersebut membuat keputusan untuk mengadakan Ujian Kelayakkan pada penghujung bulan ini berdasarkan tempoh 3 bulan selepas ujian kelayakkan yang terakhir iaitu pada Oktober 2009.
ETC menganggarkan bilangan pelatih yang bakal menyertai ujian ini tidak seramai ujian yang sebelum ini berikutan ketidakhadiran pelatih ke latihan sepanjang musim cuti sekolah pada penghujung tahun 2009.
Walaubagaimanapun, ETC menganggap ujian kelayakkan ini adalah sebagai bonus kepada pelatih-pelatih yang hadir ke latihan sepanjang cuti.
Borang ujian kelayakkan akan diedarkan di semua pusat latihan mulai minggu ini kepada mereka yang layak. Borang pendaftaran 2010 juga akan diedarkan mulai minggu ini. Yuran bulanan dikekalkan sebanyak RM15.00 manakala yuran tahunan dikekalkan RM10.00 setahun dan insurans sebanyak RM5.00. Yuran ujian kelayakkan juga dikekalkan iaitu RM30.00.

Friday, January 1, 2010

Selamat Tahun Baru : 2010

Selamat Tahun Baru diucapkan kepada semua rakyat Malaysia terutama ahli Taekwondo ETC. Semoga apa yang dihajati pada 2009 telah tercapai dan semoga azam 2010 akan menjadi kenyataan.
ETC mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pelajar & ibubapa yang telah banyak memberi sokongan kepada kami bukan sahaja untuk tahun 2009, malah ada juga yang telah memberi sokongan sejak ETC mula ditubuhkan.

ETC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru-Guru Penasihat, Guru Besar, Pengetua serta Sekolah-Sekolah & Tadika-tadika yang telah banyak memberi kerjasama kepada kami -

Ustazah Shamsiah (GPK Kokurikulum), Cik Diana (Guru Penasihat) - SK Fakeh Abdul Samad
Puan Rudziah (Guru Penasihat) - SK Jaya Gading, Kuantan
Puan Maznah (Guru Besar) - SK Pandan, Kuantan
Puan Ros Azimah (Guru Penasihat) - SK Kampong Padang, Kuantan
Guru Besar - SK Sg Talam, Kuantan
Puan Haidar & Puan Normala (Guru Penasihat) - SMA Al-Ihsan, Kuantan
Sir Fauzi (Principal) - Integrated Islamic School (IIS), Kuantan
Puan Aiza (Pemilik) - Tadika Sinar Imani, Kg Padang Jaya, Kuantan
Puan Atie (Pengurus) - Tadika Pintar Ilmu Damansara Kuantan
Puan Amy Kui (Pemilik) - Tadika Pintar Ilmu Indera Mahkota.
Ustaz Azlan (Pengurus) - Al-Kauthar Cenre, Astana View, Kuantan
ETC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Norhayati Kadir, Pengarah Program IKIP-UiTM kerana sudi menjemput ETC sebagai jurulatih jemputan. Dan tidak lupa kepada En. Sahar, Ketua Penyelaras Sukan, Kolej Komuniti Paya Besar, Kuantan kerana sudi juga menjemput ETC sebagai jurulatih/penceramah jemputan bagi kursus pendek yang diadakan sepanjang 2009.

ETC juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pembantu-pembantu jurulatih ETC yang selama ini telah berusaha keras bagi memajukan sukan Taekwondo di seluruh Kuantan; Norasyikin Nordin (SMK Seri Damai, Kuantan), Abd Razif Abd Razak (SMK Seri Damai, Kuantan), Muhamad Firdaus Muhamad Daud (SMK Astana, Kuantan), M. Aimie Azzuan M. Naaim (SMK Astana, Kuantan), Nurul Atieqah Roslan (SBPI Shah Pekan, Pekan) & Abdul Wahid Osman (SMK Pandan, Kuantan).

Tidak lupa juga penghargaan buat penyokong-penyokong blog ini, serta rakan-rakan di Facebook, terima kasih atas sokongan anda selama ini. Walaupun ada di antara mereka tidak terlibat secara langsung di dalam sukan Taekwondo tetapi tetap sudi memberi sokongan terhadap sukan ini. Terima kasih diucapkan kepada anda semua.

ETC berharap 2010 bakal menjanjikan peningkatan terhadap sukan Taekwondo, bukan sahaja di daerah Kuantan malah di seluruh Malaysia. Berita baik daripada MTA juga diharap dapat diperolehi di dalam tahun ini.

ETC juga berharap para pelajar dan ibubapa akan terus memberi sokongan terhadap kami. Kami berazam pada tahun 2010 akan memberikan yang "Lebih Baik Daripada Biasa". Segala program-program menarik telah diatur sepanjang 2010. Teruskan menyokong kami.
TERIMA KASIH SEMUA...

Thursday, December 17, 2009

ETC Bukan Anak Angkat




Evo Training Centre (ETC) telah didaftarkan pada 3 Julai 2006 dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956 (Pindaan 2001), Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah menjadi ahli sekutu bagi Kuantan Taekwondo Academy (KTA) bermula dari tarikh penubuhannya.


Sejak daripada penubuhannya, ETC telah memperkembangkan lagi sukan Taekwondo di sekitar daerah Kuantan, Pahang terutama di kawasan pedalaman seperti di Felda Panching, Felda Kolek dan di kampung-kampung seperti Kampung Jaya Gading, Kampung Seri Damai, Kampung Padang dan sebagainya.

Semenjak itu juga, ETC telah bergiat aktif di dalam pembangunan sukan Taekwondo dan telah mengambil bahagian di setiap kejohanan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kuantan Taekwondo Academy (KTA), Malaysia Taekwondo Association (MTA) serta Malaysia Taekwondo Federation (MTF).

ETC juga adalah penyumbang ahli antara yang teramai di dalam penyertaan di setiap Ujian Kelayakkan Tali Pinggang (Grading) yang dianjurkan oleh KTA.

Dianggarkan seramai 250 orang ahli telah mendaftar menjadi ahli kelab Taekwondo ETC pada setiap tahun dari usia 5 tahun sehingga 19 tahun, di 12 buah pusat latihan seperti di Tadika, Pusat Jagaan, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Sekolah Swasta serta Kolej.

Walaubagaimana pun, ETC telah mencuba untuk mendaftar Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada pertengahan 2008, namun telah ditolak kerana tidak mempunyai pengiktirafan atau surat sokongan daripada MTA atau MTF.

Ketua Jurulatih Kelab Taekwondo ETC, Mohd Azlan Bin Mohd Nawi pernah menghubungi pihak MTA dan MTF untuk memperolehi pengiktirafan daripada mereka tetapi telah ditolak dengan alasan Ketua Jurulatih tersebut masih memiliki tali pinggang hitam terendah iaitu 1st Dan dan tidak layak untuk memperolehi pengiktirafan oleh mereka.

Ketua Jurulatih Kelab Taekwondo ETC, Mohd Azlan Bin Mohd Nawi telah menyertai KTA (sebelum ini dikenali sebagai Pertubuhan Taekwondo Kuantan (WTF) Pahang) sejak 1995 adalah pemegang sijil kejurulatihan Taekwondo (Specific Level 1) MTF dan Sijil Sains Sukan Tahap 1, MSN.

Beliau telah memperolehi Tali Pinggang Hitam Dan pertama (1st Dan) pada tahun 1999 di bawah MTA. Beliau juga aktif di dalam setiap aktiviti anjuran KTA sebagai petugas, peserta dan pengadil di dalam setiap program anjuran KTA sebelum dan semasa beliau memiliki Tali Pinggang Hitam.

Beliau juga telah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di bawah KTA walaupun semasa melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma di Kolej IKIP, Kuantan pada tahun 2000 sehingga 2002.

Pada tahun Januari 2005, beliau telah mulakan kerjayanya sebagai Jurulatih Taekwondo sepenuh masa dan mula melatih di 5 buah pusat latihan di bawah naungan KTA dan telah menubuhan ETC pada Julai 2006.

Pengalaman beliau selama 15 tahun di dalam sukan Taekwondo, 10 tahun sebagai pemegang tali pinggang hitam Dan pertama (1st Dan) dan 5 tahun sebagai Jurulatih yang telah melatih lebih kurang 250 orang pelatih tidak pernah diambil kira oleh mana-mana pihak termasuk MTA, MTF, Majlis Sukan Pahang atau mana-mana badan yang bertanggungjawab untuk memajukan sukan Taekwondo di mana-mana peringkat.

Beliau juga tidak pernah ditawarkan untuk menduduki "Senior Up-Grading" bagi menaiktaraf tahap tali pinggang beliau walaupun masih bergiat aktif sejak 1999.

Pelatih-pelatih ETC juga tidak pernah mendapat peluang untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat daerah walaupun telah berjaya memperolehi pingat emas di dalam pertandingan/kejohanan yang dianjurkan di dalam daerah Kuantan seperti MSSD atau Kejohanan Jemputan UIA dan sebagainya.

Kewujudan ETC di daerah Kuantan juga seperti tidak diketahui oleh badan-badan sukan daerah atau negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah dan Pejabat Pelajaran Negeri Pahang kerana ETC sentiasa dibayangi oleh KTA iaitu kelab yang lebih besar dan terkenal di dalam daerah Kuantan mahupun negeri Pahang.

Yang lebih malang lagi, ETC seolah-oleh disekat oleh pihak tertentu daripada mengetahui maklumat terkini berkenaan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MTA mahupun MTF melainkan ETC telah mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan daripada Kelab atau Persatuan lain atau dari Majlis Komuniti Senibeladiri Malaysia (MCM).

ETC pernah juga ingin mendaftarkan dibawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan namun telah ditolak kerana dikatakan kelab ini terlalu "besar" untuk didaftarkan dibawah Pejabat tersebut namun terlalu "kecil" untuk didaftarkan dibawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Kini ETC hanya dianggap bergiat sebagai "perniagaan" dan bukannya sebagai badan sukan. Dan tidak layak untuk meminta dan menerima bantuan kewangan dari pihak-pihak tertentu seperti daripada pejabat wakil rakyat atau badan-badan kerajaan yang lain.

ETC tidak ubah seperti anak angkat bagi pihak-pihak tertentu, hanya melakukan aktiviti sendiri tanpa disedari atau diiktiraf oleh mana-mana pihak. Pelatih-pelatih ETC hanya berlatih untuk menaiki gred tali pinggang mereka dan bagi mereka yang berbakat besar hanya sekadar menunjuk bakat di dalam kampung sahaja. Latihan Taekwondo oleh ETC juga telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai rekreasi sahaja bukan untuk dipertandingkan di pelbagai peringkat.

ETC berharap agar satu hari nanti ETC akan diberi peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi kerana ETC sudah lama berada di tahap "selesa".



Wednesday, December 9, 2009

Harapan Taekwondo

(Gambar sekadar hiasan)
Petikan dari MyMetro


SEMUANYA terpulang kepada atlit. Jika mereka berjaya mempersembahkan aksi konsisten pada hari pertandingan nanti, impian menggapai pingat bukan lagi mustahil walaupun taekwondo sering dikaitkan dengan pelbagai helah negara tuan rumah.

Acara subjektif biasanya menjadi medan untuk negara tuan rumah serta sekutunya meraih sebanyak mungkin emas tetapi penggunaan sistem pemarkahan baru diperkenalkan di Sukan Sea Laos, membuka ruang cukup luas buat semua negara mengambil bahagian.

Hakikat itu diakui jurulatih acara Poom Sae (pattern) Taekwondo, Michael Liew yang berkata semua lima juri di penjuru gelanggang akan menggunakan sistem komputer untuk memberi markah dan juri memberikan jumlah markah tertinggi serta terendah akan diketepikan dan hanya markah tiga juri lain akan dikira untuk mencari markah sebenar yang dimenangi peserta.

“Dengan sistem baru itu, setiap atlit tidak kira negara akan mempunyai ruang serta peluang sama rata untuk menang pingat.

Secara logiknya, tidak akan ada sebarang bantuan luaran, terutama daripada juri tertentu yang memihak kepada atlit pilihan masing-masing.

“Ketika Kejohanan Dunia di Mesir baru-baru ini, sistem itu diguna pakai dan ia terbukti berkesan,” katanya.

Empat atlit disenaraikan untuk acara Poom Sae dan Michael menaruh keyakinan tinggi salah seorang anak buahnya akan menamatkan persembahan di podium.

“Saya yakin kami akan menang pingat tapi saya tidak berani menjanjikan apakah warna pingat itu. Negara paling menyerlah dalam acara Poom Sae ini ialah Vietnam dan kami juga tidak boleh memandang mudah cabaran negara lain,” katanya.

Peserta negara dalam acara Poom Sae ialah S Anantharajan, Raffique Hashimi Hashim, Lee Pay En dan Lee Jeng Yen. Anantharajan serta Jeng Yen dipertaruhkan untuk acara individu lelaki dan wanita manakala Raffique dan Pay En bergandingan dalam kategori berpasangan.

Thursday, October 29, 2009

Terima Padah

Petikan daripada artikel MyMetro
Oleh Bazly Azmi


KEMELUT dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) mengakibatkan acara itu digugurkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Melaka 2010 selain berdepan ancaman tidak dihantar menyertai Sukan Sea Laos, Disember depan.Paling jelas, kegagalan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MTA menyaksikan hanya cadangan penyenaraian sukan itu pada Sukma 2010, ditolak ketika sembilan lagi sukan diterima Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tertinggi Sukma, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek , mengakui kecewa dengan kegagalan MTA mencari penyelesaian terutamanya dengan hasil EGM dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar, Sabtu lalu “Saya masih belum menerima laporan penuh EGM itu namun, Tunku Imran ada menelefon memaklumkan ia gagal mencapai kata sepakat. Perkara ini mengecewakan kerana Sukma hanya berbaki kurang tujuh bulan lagi dan paling penting, penyertaan taekwondo ke Laos turut belum dipastikan.


“Jadi, kami akan membuat kajian penyertaan sukan ini ke Laos dan ia akan ditentukan jawatankuasa ad hoc,” katanya dalam sidang media.

Sembilan sukan diterima ialah Formula Future, kanu, golf, tenis, ragbi, bola tampar, kabaddi, judo, lawan pedang sementara dua disiplin ditambah dalam akuatik iaitu renang berirama serta polo air.

Ia menyaksikan Sukma ke-13 di Melaka, yang tarikhnya turut ditukar kepada 10-19 Jun depan, kini membabitkan 34 jenis acara dengan setiap acara wajib disertai sekurang-kurangnya lapan negeri.

Taekwondo turut di ambang kegelapan apabila Shabery membayangkan akan memanjangkan isu terbabit kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dinilai semula statusnya sebagai aktiviti ko-kurikulum sekolah seluruh negara.“Sukan berteraskan semangat tolak ansur dan setia kawan, namun jika pegawai persatuan sukan bersikap mementing diri, apa lagi yang tinggal untuk atlit dan pelajar yang menyertainya?"

Ia contoh yang tidak baik dan akan memberi kesan negatif terutamanya kepada pelajar sekolah.

“Selagi boleh, jangan sampai kerajaan mahu campur tangan dan kerana itu, saya selagi boleh masih tidak mahu gunakan kuasa KBS kerana kesannya akan berbeza (teruk).Jadi, saya minta perkara ini diselesaikan segera,” katanya.Sementara itu, mesyuarat dengan wakil persatuan negeri turut membincangkan langkah membantu Perlis, penganjur Sukma 2012, menyediakan infrastruktur menganjurkan temasya sukan terbesar negara itu.

P/S : ETC sebenarnya dari awal lagi sudah menjangkakan hal ini pasti akan berlaku dan akan menjadi lebih buruk lagi. Kesan daripada kegagalan MTA ini mengakibatkan banyak aktiviti atau program tidak dapat diadakan, lebih buruk lagi atlet-atlet Taekwondo tidak dapat menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti SUKMA, Sukan Sea dan mungkin juga Sukan Olimpik 2012.
Manakala diperingkat daerah, masalah perebutan pusat latihan di sekolah-sekolah masih berlaku, persatuan atau kelab yang bernaung di bawah MTA, MTF serta MTCA berperang mengakui mereka adalah persatuan atau kelab yang diiktiraf, masing-masing mengemukakan dokumen-dokumen berfail-fail seperti surat dari MSN, KBS, Majlis Sukan Negeri malah ada juga yang membawa petikan-petikan artikel seperti ini yang diambil dari akhbar-akhbar tempatan.
Masalah juga timbul kepada pemegang blackbelt serta Jurulatih yang ingin menduduki "Senior Up Grading" kerana masing-masing menunggu untuk menduduki ujian tersebut dibawah MTA kerana dibimbangi sekiranya menduduki ujian tersebut dibawah MTF atau MTCA, kelak kenaikkan mereka tidak diiktiraf. Tetapi malangnya sekian lama menunggu, masalah penyatuan MTA ini masih tidak lagi berjaya.
Malang sungguh bagi sukan berpotensi tinggi ini kerana disebabkan beberapa "orang tua" yang menerajui MTA selama ini, pelatih-pelatih, atlet-atlet berpotensi serta jurulatih-jurulatih menerima padah yang sangat buruk.

Saturday, October 10, 2009

Tunggu keputusan ad hoc

Petikan dari artikel MyMetro
Oleh Nor Hairulnizam
Wahidhairulnizam@hmetro.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berharap persatuan taekwondo negeri menurut kehendak jawatankuasa ad hoc demi memastikan masalah dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) segera berakhir.

“Saya berharap persatuan negeri bersabar dan memberi peluang kepada jawatankuasa ad hoc melaksanakan keputusan,” katanya ketika menjawab satu lagi permasalahan baru yang wujud dalam persatuan sukan tempur itu, kali ini mengenai kuasa undian yang diberikan terhadap kelab perdana.Jelasnya permasalahan dalam MTA bukan perkara baru, justeru apa saja keputusan jawatankuasa ad hoc yang diterajui Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar mungkin tidak dipersetujui sesetengah pihak.

Apa yang pasti katanya, apa yang berlaku dalam MTA bukan masalah dalaman tapi juga berkaitan dengan sistem pertubuhan kelab berkenaan yang saling berselisih di peringkat antarabangsa hingga terbawa-bawa dalam organisasi persatuan tempatan.

“Jika tidak atlit akan menjadi mangsa dan tidak berpeluang bertanding di luar negara, apatah lagi Sukan Sea semakin hampir,” katanya ketika majlis rumah terbuka Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Taekwondo Selangor, Dr Yusof Hashim meluahkan rasa bimbang mengenai kuasa undian yang diberikan kepada kelab taekwondo berstatus kelab perdana untuk mengundi calon pilihan mereka dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM) MTA yang dijadualkan pada 27 Disember depan.

Mereka beranggapan, kehadiran kelab perdana memberi kesan struktur kepemimpinan persatuan terbabit selepas ini, berbanding kuasa memilih yang diberi terhadap negeri sebelum ini meskipun menerima tambahan dua undi bagi setiap negeri.

Begitupun Ahmad Shabery menafikan pernah mengeluarkan arahan MTA akan dibubarkan sekiranya persatuan terbabit enggan menerima keputusan jawatankuasa ad hoc tapi meminta mereka berunding demi memastikan atlit dapat dihantar menyertai Sukan Sea.

MTA sedia bentang perlembagaan baru

Petikan dari artikel MyMetro
Oleh Nor Hairulnizam

SELEPAS 18 minggu bermesyuarat, akhirnya jawatankuasa ad hoc Persatuan Taekwondo
Malaysia (MTA) yang ditugaskan menangani kemelut penyatuan dalam kelab taekwondo itu berjaya meminda satu perlembagaan baru sebelum jawatankuasa baru kelab itu dipilih pada 27 Disember ini menerusi Mesyuarat Agung Dwitahunan (BGM).

“Ia sudah hampir sedia untuk dibentangkan,” kata Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Roy Rajasingham selepas mengendalikan taklimat jawatankuasa terbabit bersama persatuan taekwondo negeri di MOM petang semalam.Jelasnya, tarikh 24 Oktober dipilih sebagai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk membentangkan perlembagaan itu untuk diteliti dan dibincangkan bersama anggota MTA lainnya.

“Selepas itu, kami akan adakan BGM untuk memilih jawatankuasa baru. Untuk tahun yang baru ini, kita akan mempunyai perlembagaan baru, pemimpin yang baru, ahli jawatankuasa yang baru dan lembaga eksekutif yang baru,” katanya.

Begitupun sesuatu berbeza kali ini ialah hak mengundi yang turut diberikan kepada kelab perdana, iaitu antara elemen yang menonjol dalam pindaan perlembagaan itu, meskipun sebelum ini ia mencetuskan rasa kurang senang sesetengah pihak.

“Setiap kelab mempunyai hak satu undian, badan kerajaan iaitu tentera, polis dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dua undian dan setiap negeri berhak mendapat tiga undian.

“Begitupun kami belum memutuskan jumlah sebenar kelab perdana dibenarkan mengundi mungkin ia akan diberitahu selepas ini,” katanya yang menjelaskan hanya kelab memenuhi syarat diberi hak untuk mengundi.Masalah dalaman MTA yang bermula sejak 2005 berlanjutan hingga hari ini, membabitkan campur tangan tiga Menteri Belia dan Sukan hingga pernah digantung dua tahun. sebelum kembali bernafas pada 2007, tetapi masalah itu semakin parah hingga jawatankuasa ad hoc yang dipengerusikan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar ditugaskan untuk menangani isu terbabit.

“Segala-galanya dapat diselesaikan dengan cepat. Kami berjaya menyatukan semua pihak dan dapat meminda perlembagaan. Kami berharap MTA selepas ini bukan hanya diterima di Malaysia tetapi juga dapat mengambil bahagian dalam kejohanan luar negara,” katanya.

Wednesday, September 9, 2009

H1N1, Permulaan Kepada Bencana


Bermula pada pertengahan Julai 2009, H1N1 telah merebak di seluruh Malaysia secara drastik yang mengakibatkan 74 orang maut di Malaysia sahaja. Penularan penyakit ini telah melumpuhkan pelbagai sudut ekonomi negara serta mengakibatkan kerugian kepada banyak pihak.
Secara tidak langsung, kami di ETC juga mengalami masalah yang sama. Kehadiran pelatih ke kelas Taekwondo hanya 20%, ini berikutan kebimbangan ibubapa/penjaga pelatih terhadap jangkitan H1N1 semasa latihan Taekwondo serta penutupan sekolah oleh kerana dikuarantin selama seminggu hingga 2 minggu.
Sebagai langkah berjaga-jaga jurulatih kami diwajibkan memakai penutup muka (mask) bagi mengelakkan jangkitan virus ini. Kami juga menggalakkan para pelatih untuk memakai penutup muka sepanjang mengikuti latihan.
Kini kehadiran pelajar ke kelas latihan Taekwondo semakin parah kerana kehadiran bulan Ramadhan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, latihan semasa bulan Ramadhan kurang mendapat sambutan dari para pelatih. Keadaan ini menjadi bertambah rumit apabila ibubapa/penjaga juga tidak membenarkan anak mereka untuk menghadiri kelas Taekwondo sepanjang bulan Ramadhan kerana mereka mendakwa anak mereka penat atau tidak larat untuk menghadiri kelas latihan.
Untuk pengetahuan semua, kelas latihan pada bulan Ramadhan diadakan selama 1 jam 30 minit sahaja. Bukan 2 jam seperti waktu latihan biasa. Latihan-latihan yang diadakan cuma latihan ringan dan latihan yang berkaitan dengan ujian kelayakkan tali pinggang yang akan diadakan pada 18 Oktober 2009. Pelatih juga akan diberikan rehat dengan lebih kerap, tidak perlu "shout" serta tidak melakukan aktiviti berat seperti berlari, push-up dan sebagainya.
Hanya tinggal 2 minggu lagi latihan yang perlu diadakan di dalam bulan Ramadhan. Diharapkan semua pelajar dapat hadir bagi persediaan menduduki ujian kelayakkan tali pinggang yang akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Thursday, May 7, 2009

Ada Penyelesaian: Nik Mahmud


KEBUNTUAN bertahun-tahun, mahu dinoktahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) apabila menegaskan cahaya sudah kelihatan di hujung terowong berhubung isu Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).
Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf, menyuarakan keyakinan, sukan taekwondo dapat dimasukkan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) menjelang Jun depan, tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini untuk persatuan itu menyelesaikan segala kemelut.
“Laporan yang saya terima mendapati, semua pihak yang bertelagah sudah pun duduk semeja membincangkan proses menerima masuk semua persatuan serpihan MTA sebelum ini,” katanya.
Nik Mahmud berkata, PJS menjangkakan segala isu berkaitan dengan perlembagaan baru serta beberapa pindaan yang berkaitan dapat diterima oleh ahli MTA sedia ada demi memastikan kemelut dalaman MTA dapat diselesaikan segera.
“Mungkin proses untuk usaha mengadakan mesyuarat agung MTA akan mengambil masa sejajar dengan perlembagaan persatuan itu dan ia diikuti proses menerima keahlian dan membentuk sebuah persatuan yang kukuh.
“Kami di PJS yakin isu ini dapat diselesaikan atas dasar semangat kesukanan dan berharap semua pihak yang terbabit, dapat bertolak ansur bagi memastikan atlit tidak teraniaya,” katanya.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberikan tempoh sehingga Jun ini bagi MTA menyelesaikan segala isu berbangkit, termasuk menerima kembali semua persatuan serpihan MTA.
Terkandung dalam arahan itu adalah, MTA dan pihak lain yang bertelagah, perlu menggugurkan semua kes di mahkamah berkaitan dengan persatuan itu, termasuk saman MTA terhadap Pesuruhjaya Sukan.
Ketika ini, wujud dua puak yang saling mendakwa mereka pemimpin yang sah MTA selain dua kumpulan serpihan, Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA) dan Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF).
PJS yang kembali menubuhkan jawatankuasa adhoc selepas beberapa jawatankuasa seumpama sebelum ini gagal, yakin kemampuan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Jaa’far yang mengetuai jawatankuasa kali ini, mampu menamatkan kemelut itu. ~Berita Harian (5 Mei)

NOTA : Pendaftaran Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS)yang dipengerusikan oleh jurulatih Mohd Azlan Bin Mohd Nawi juga telah terjejas akibat daripada hal-hal yang berkaitan dengan perpecahan antara MTA, MTF dan MTCA.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana kelab-kelab baru seperti kami yang akan akan berurusan dengan pihak pendaftar atau mana-mana jabatan kerajaan yang lain akan menjadi lebih mudah. ETC yakin bukan hanya kami yang mengalami masalah ini, terdapat banyak lagi kelab-kelab baru yang ingin mendaftar atau ingin menjalankan pelbagai aktiviti terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana masalah-masalah yang berkaitan dengan hal-hal ini.

Wednesday, May 6, 2009

Impian Tunku Imran Supaya Sukan Negara Maju Ke Depan

Tunku Imran - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM)

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Penyelarasan yang baik antara pelbagai kementerian dan iltizam politik yang perlu datang daripada perdana menteri merupakan satu cara untuk maju ke depan bagi mewujudkan budaya sukan di Malaysia, menurut seorang pegawai tertinggi sukan negara.Presiden Majlis Olympik Malaysia (OCM) Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar berkata semua kementerian perlu mendahului yang lain dalam bidang sukan, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis-majlis Sukan dalam usaha bersepadu bagi membangunkan sukan."Saya berpendapat perlu ada iltizam politik bagi perkara ini dan saya fikir ia perlu datang daripada perdana menteri memandangkan bidang sukan adalah satu perkara yang merentasi kementerian yang sebenarnya kita perlukan perdana menteri untuk mengarahkan apa yang sepatutnya berlaku," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Tunku Imran berkata beliau mendapat banyak galakan hasil pandangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik Datuk Ahmad Shabery Cheek berhubung hala tuju sukan Malaysia yang diimpikannya."Saya suka dengan apa yang dikatakannya, perkara pertama adalah wujudkan budaya sukan, kedua, kita memerlukan pingat emas Sukan Olimpik yang sukar diperolehi dan kita akan berusaha mendapatkannya dan perkara ketiga, bidang sukan telah menjadi satu bidang perniagaan dan industri di mana peluang yang begitu besar kepada pemain, jurulatih dan masyarakat umumnya mahu memperoleh pendapatan untuk kehidupan.

"Apa yang perlu berlaku ialah memberi sedikit masa di dalam kurikulum sekolah dan sudah tentu sejam dalam seminggu tidak mencukupi dan ia perlu difikirkan semula secara mendalam berhubung perkara itu," kata Tunku Imran.Katanya secara realistik 90 peratus daripada murid sekolah yang bersukan hanya untuk tujuan kesihatan dan riadah semata-mata dan hanya 10 peratus sahaja boleh diharapkan untuk terus melangkah menyertai sukan elit sama ada bagi pertandingan peringkat kebangsaan, wilayah atau antarabangsa.

Bagi pandangannya, sukan perlu disertai dengan usaha serampang dua mata, pertamanya bagi mendapatkan khalayak yang bersukan atau berminat dalam sukan dan bagi mereka yang merasakan bahawa sukan itu sebenarnya menarik dan keduanya untuk mengenalpasti mereka yang mahu menceburi sukan elit atau ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bergiat dalam sukan berkenaan.

Tunku Imran berkata setiap sekolah sepatutnya mempunyai kelab sukan yang menumpukan perhatian kepad atlet elit dan untuk membantu mereka supaya benar-benar aktif di dalam sukan dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

"Kelab-kelab sukan sedemikian perlu aktif pada hujung minggu seperti pagi Sabtu atau tengah hari dan menggunakan kemudahan sekolah untuk tujuan itu. Jika anda memandu sekitar hari Sabtu, kemudahan sekolah ditutup terus..mereka mempunyai banyak padang yang cantik tanpa sebarang kegiatan dan ia hampir menjadi satu kesalahan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya semua sekolah diberikan kemudahan seperti sekurang-kurangnya seorang jurulatih dan peralatan yang tidak semestinya mahal dan sekurang-kurangnya seorang atau dua orang pakar untuk menganjurkan sukan secara terancang dan profesional.

"Apa yang jelas, jika sekolah hanya mempunyai seorang jurulatih, sama ada lelaki atau wanita, akan bertugas terus menerus. Ia perlu ada satu peruntukan bagi jurulatih sambilan, pengadil sambilan dan lain-lain.

"Setiap persatuan sukan di negara ini sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan perlu ada orang yang hanya perlu ditanya dan mereka akan sanggup melakukannya kerana kecintaan mereka terhadap sukan," kata Tunku Imran.Menurut beliau, mereka yang membuat kerja sambilan ini boleh diambil untuk membantu kelab sukan sekolah-sekolah dan para pemain elit semasa hujung minggu sementara sekolah-sekolah perlu berhimpun dan mewujudkan liga.

Bagi 10 peratus bakat-bakat sukan yang mencapai gred yang baik bagi sukan-sukan elit, pada asasnya perlu dipertandingkan setiap minggu semasa di luar tempoh peperiksaan dengan mengadakan liga antara sekolah seperti untuk Tingkatan 1 dan 2, Tingkatan 3 dan 4 dan Tingkatan 5 dan 6.

Dan Tunku Imran juga menegaskan peranan penting ibu bapa bagi mengesan bakat-bakat sukan.Seperti katanya: "Saya pasti ibu bapa sudah tentu gembira untuk memandu anak-anak mereka ke sekolah atau ke sekolah lain, jika ia adalah satu perlawanan di tempat yang jauh..mereka akan duduk dengan anak-anak mereka.

Saya fikir kita tidak pernah membawa sama ibu bapa secukupnya dalam perkara ini."Di Amerika dan Australia, ibu bapa merupakan mereka yang menjadi pemandu, pengadil, jurulatih dan segala-galanya."Jadi, saya fikir terdapat banyak sukarelawan dan kebanyakan daripada mereka adalah ibu bapa yang sudah pasti gembira untuk berada bersama-sama dengan anak-anak mereka pada pagi Sabtu atau menghantar dan mengambil anak-anak mereka kemudian dan saya fikir perkara inilah yang tidak berlaku dan ia adalah satu perkara yang sedih di negara ini," katanya.

Tunku Imran berkata "penyelarasan adalah segala-galanya" dan Kementerian Belia dan Sukan perlu mendahului dalam sukan di sekolah, universiti dan kawasan di bawah pihak berkuasa tempatan.Ketika ditanya mengenai bagaimana bakat-bakat sukan negara dilahirkan, pentadbir sukan veteran itu berkata sumber terbesar sebenarnya adalah melalui ibu bapa."Jika anda lihat setiap individu bergelar juara yang telah kita lahirkan, pengaruh ibu bapa adalah amat besar. Nicol David (skuasy), adik beradik Sidek (badminton).

Mereka perlu bermula di mana-mana, dan di dalam skuasy yang merupakan satu contoh yang baik, anda boleh melahirkan seorang juara dunia tanpa atau sekalipun melalui sistem sekolah," katanya. Sambil menyifatkan Nicol, juara skuasy dunia, sebagai contoh klasik, Tunku Imran, yang juga bekas juara skuasy kebangsaan, berkata Nicol dan begitu juga dengan rakannya Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar tidak mempelajari skuasy semasa di sekolah.

"Mereka belajar skuasy kerana ibu bapa mereka memperkenalkan mereka kepada permainan itu dan mereka bermain di kelab atau gelanggang awam dan begitu lah bagaimana ia berlaku kepada sesetengah individu yang menceburi sukan.

Ia juga boleh berlaku dalam seni mempertahan diri seperti taekwondo dan karate di mana atlet-atlet kita dapat mara ke Olimpik kerana ibu bapa mereka memasukkan mereka ke dalam kelab atau akademi dan jika benar-benar bertekad mereka sebenarnya boleh menjadi juara tanpa melalui sistem sekolah.

Sambil mengulangi kepentingan penyelarasan, Tunku Imran berkata: "Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput oleh Kementerian Pelajaran bagi membantu mereka memantapkan sukan di sekolah-sekolah."Jika tidak, tiada penyelarasan.

Adalah penting jika kita hendak membelanjakan wang yang banyak dalam usaha melahirkan juara oleh Kementerian Belia dan Sukan, mereka perlu tahu bahawa perkara yang akan diperolehi nanti adalah dalam standard tertentu..jika ianya tidak baik, mereka tidak akan mampu untuk menjadi juara," katanya.-- Azman Ujang, BERNAMA