Wednesday, December 9, 2009

Harapan Taekwondo

(Gambar sekadar hiasan)
Petikan dari MyMetro


SEMUANYA terpulang kepada atlit. Jika mereka berjaya mempersembahkan aksi konsisten pada hari pertandingan nanti, impian menggapai pingat bukan lagi mustahil walaupun taekwondo sering dikaitkan dengan pelbagai helah negara tuan rumah.

Acara subjektif biasanya menjadi medan untuk negara tuan rumah serta sekutunya meraih sebanyak mungkin emas tetapi penggunaan sistem pemarkahan baru diperkenalkan di Sukan Sea Laos, membuka ruang cukup luas buat semua negara mengambil bahagian.

Hakikat itu diakui jurulatih acara Poom Sae (pattern) Taekwondo, Michael Liew yang berkata semua lima juri di penjuru gelanggang akan menggunakan sistem komputer untuk memberi markah dan juri memberikan jumlah markah tertinggi serta terendah akan diketepikan dan hanya markah tiga juri lain akan dikira untuk mencari markah sebenar yang dimenangi peserta.

“Dengan sistem baru itu, setiap atlit tidak kira negara akan mempunyai ruang serta peluang sama rata untuk menang pingat.

Secara logiknya, tidak akan ada sebarang bantuan luaran, terutama daripada juri tertentu yang memihak kepada atlit pilihan masing-masing.

“Ketika Kejohanan Dunia di Mesir baru-baru ini, sistem itu diguna pakai dan ia terbukti berkesan,” katanya.

Empat atlit disenaraikan untuk acara Poom Sae dan Michael menaruh keyakinan tinggi salah seorang anak buahnya akan menamatkan persembahan di podium.

“Saya yakin kami akan menang pingat tapi saya tidak berani menjanjikan apakah warna pingat itu. Negara paling menyerlah dalam acara Poom Sae ini ialah Vietnam dan kami juga tidak boleh memandang mudah cabaran negara lain,” katanya.

Peserta negara dalam acara Poom Sae ialah S Anantharajan, Raffique Hashimi Hashim, Lee Pay En dan Lee Jeng Yen. Anantharajan serta Jeng Yen dipertaruhkan untuk acara individu lelaki dan wanita manakala Raffique dan Pay En bergandingan dalam kategori berpasangan.

No comments: