Pada awal September 2010 yang lepas, sekitar kawasan Taman Tas, Kuantan telah menerima risalah yang telah diedarkan oleh pihak tertentu bagi mempromosikan kelas Taekwondo yang baru dibuka di Dewan Orang Ramai Taman Tas, Kuantan.
Berdasarkan risalah tersebut, kelas tersebut bakal bermula 26 September 2010 dan tenaga pengajar yang bakal adalah seorang yang memiliki 4 Dan dan memegang jawatan Ketua Jurulatih Negeri Pahang.
Apa yang menjadi persoalannya adalah, benarkah individu yang dinyatakan di dalam risalah tersebut adalah Ketua Jurulatih Negeri Pahang?
Adakah jawatan tersebut wujud di dalam Taekwondo Negeri Pahang?
Sekiranya benar, mengapakah wakil-wakil Kelab Taekwondo Kuantan yang memegang jawatan di dalam Taekwondo Negeri Pahang tidak dimaklumkan mengenai perkara ini?
Dan, adakah Taekwondo Negeri Pahang ketandusan induvidu yang mempunyai tahap Blackbelt yang lebih tinggi sehinggakan hanya dengan memiliki 4 Dan boleh menyandang jawatan yang begitu besar itu?
Persoalan tersebut telah beberapa kali diajukan oleh Ketua Jurulatih Kelab Taekwondo Kuantan, Master Michael Tan Kim Chee melalui email kepada Setiausaha & Setiausaha Teknikal Taekwondo Negeri Pahang. Namun begitu, tiada sebarang jawapan yang diperolehi sehingga hari ini. Persoalan itu juga telah diajukan kepada Timbalan Presiden Taekwondo Negeri Pahang di dalam perbualan telefon bersama beliau beberapa hari sebelum Krismas tahun lepas, juga tidak mendapat sebarang jawapan.
Kami amat berharap pihak tertinggi Taekwondo Negeri Pahang dapat menjelaskan perkara ini kerana jawatan tersebut amat besar. Kami tidak mahu melihat ada individu yang 'menyamar' dan mengakui dengan sewenang-wenangnya menjawat jawatan tersebut. Penyamaran tersebut dianggap sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan memalukan individu itu sendiri.
Sikap buruk ini juga dibimbangi diwarisi oleh generasi muda di dalam Taekwondo Negeri Pahang kerana generasi muda sememangnya mengambil iktibar dan teladan daripada senior-senior di dalam Taekwondo Negeri Pahang.
Apa yang kami di ETC inginkan adalah keadilan di dalam pentadbiran Taekwondo Negeri Pahang dan bukannya berniat atau bertujuan untuk menjatuhkan badan induk Taekwondo Negeri Pahang yang tercinta ini. Diharapkan Presiden Taekwondo Negeri Pahang menunaikan janji beliau semasa Mesyuarat Agung Pemilihan Pertama Taekwondo Negeri Pahang untuk menyatukan semula kelab-kelab Taekwondo di dalam Negeri Pahang di dalam persatuan yang baru ini.
No comments:
Post a Comment