Monday, May 24, 2010

"The Sith" Ingin Menguasai Pahang Semula

Pada hari Ahad (23 May 2010) yang lepas, Master Micheal Tan Kim Chee (Ketua Jurulatih Kuantan Taekwondo Academy) dijemput oleh wakil Taekwondo daripada daerah Temerloh untuk memberi penerangan bersama-sama wakil-wakil dari pada beberapa daerah berkaitan dengan penubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF). Pertemuan diadakan di sebuah Kopitiam yang telah beroperasi sejak 20 tahun lepas dan sangat terkenal di Mentakab, Pahang bermula pada jam 8 malam.

Rombongan kami terdiri daripada Master Micheal Tan Kim Chee, Sir Tommy Chia Yoke Kuan dan saya, Mohd Azlan Mohd Nawi. Dan antara daerah yang menghantar wakil adalah dari daerah Temerloh (Tuan Rumah), Kuala Lipis, Raub dan Maran, dan dilihat ada beberapa individu yang tidak dikenali yang mungkin mewakili kelab-kelab kecil di sekitar Pahang.

Tujuan perjumpaan ini diadakan sepatutnya berkisarkan penubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF) yang akan bernaung dibawah badan Taekwondo Kebangsaan yang baru iaitu TAEKWONDO MALAYSIA (WTF).

Tetapi semasa permulaan perbincangan ini, Ketua "The Sith" yang menjadi tuan rumah kali ini membuat ucapan pembukaan yang amat mengelirukan. Beliau berkata perbincangan kali ini berkaitan dengan;
1) Penubuhan persatuan baru yang mungkin mengambil masa yang panjang dan mungkin akan menimbulkan pelbagai masalah
ATAU
2) Menggunakan persatuan yang sedia ada (Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF)) yang sememangnya telah wujud cuma perlu diberi pengubahsuaian dan sehingga hari ini bernaung di bawah MTA walaupun MTA telah dibubarkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Master Micheal Tan Kim Chee telah diberi peluang untuk memberi penerangan berkaitan dengan penubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF) kepada semua hadirin. Beliau menyatakan bahawa penubuhan persatuan baru ini adalah dibawah arahan TM (TAEKWONDO MALAYSIA) kerana hanya negeri Pahang yang tidak mempunyai persatuan negeri yang bernaung dibawah TM.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh wakil-wakil daerah ini adalah untuk menubuhkan KELAB yang diketuai oleh seorang Ketua Jurulatih. Ketua Jurulatih yang dilantik hendaklah memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh TM iaitu mempunyai kelayakan tali pinggang hitam (Blackbelt) peringkat kebangsaan sekurang-kurangnya 4th DAN, mempunyai Sijil Kejurulatihan Spesifik Tahap 1 (Taekwondo Coaching Specific Level 1), mempunyai Sijil Sains Sukan Tahap 1 (Sport Science Level 1) dan juga terdapat syarat bagi penubuhan Kelab seperti memiliki sekurang-kurangnya 10 orang pemegang tali pinggang hitam (Blackbelt), memiliki sekurang-kurangnya 50 orang pelatih dan sebagainya barulah layak kelab mereka ditubuhkan dan layak bernaung dibawah TAEKWONDO PAHANG (WTF) dan mempunyai 2 undi di dalam TAEKWONDO PAHANG (WTF).

Perkara yang tidak menyenangkan hati mereka adalah ketiadaan Sijil Sains Sukan Tahap 1(Sport Science Level 1) menjadi penghalang untuk mereka. Keperluan Sijil Sains Sukan ini adalah ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara kepada hampir semua sukan-sukan di Malaysia. Dan TM mewajibkan keperluan sijil ini untuk mendapatkan Sijil Kejurulatihan, atau untuk menjadi Ketua Jurulatih bagi kelab-kelab atau bagi mendapat kebenaran menjadi Pemeriksa (Examiner).

Sekiranya syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, mereka boleh menubuhkan kelab dan bernaung dibawah TAEKWONDO PAHANG (WTF) tetapi tidak mempunyai sebarang undi semasa Mesyuarat Agung Tahunan mahupun Mesyuarat Agung Pemilihan.

Malang sekali buat daerah yang terkenal dengan Ikan Patin tersebut, Ketua mereka tidak mempunyai kelayakkan yang ditetapkan. Oleh sebab itu mereka kembali dengan idea bagi menghidupkan semua pertubuhan yang selama ini mereka telah bernaung iaitu Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF).

Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF) telah lama dikuasai oleh "Dark Side" yang diketuai oleh ketua-ketua "The Sith" yang telah lama merosakkan Taekwondo di negeri Pahang. Walaupun nama pertubuhan tersebut "BERSATU", tetapi mereka telah lama tidak bersatu dan ada antara mereka telah keluar pertubuhan dan bernaung dibawah kelab-kelab luar dari negeri Pahang. Dan ada juga diantara mereka telah dilantik memegang jawatan utama di dalam MTA yang sudah dibatalkan pendaftarannya dan beroperasi seperti kongsi gelap di negara ini.

Seorang daripada pemimpin "The Sith" ini yang dikenali sebagai Siva yang juga bercakap mewakili daerah Temerloh menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan penubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF) ini kerana mereka sudah lama bernaung dibawah Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF) dan pertubuhan itu tidak langsung mempertikaikan keperluan untuk bernaung dibawah TM sebagai badan kebangsaan malah beliau juga mendakwa beliau adalah Setiausaha bagi pertubuhan tersebut yang telah membuat Perlembagaan Pertubuhan yang menyatakan pertubuhan itu secara "automatik" telah bersetuju dan bernaung dibawah TM.

Beliau juga sering menyebut perkataan "ambil balik jawatan Setiausaha di dalam Pertubuhan" kerana kenyataannya beliau bukan lagi Setiausaha Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF) dan jawatan tersebut telah dijawat oleh Encik Faizal. Siva hanya berangan-angan untuk mengembalikan kuasanya di dalam Pertubuhan dan ingin menyatukan semula Pahang dan ingin membawa Pertubuhan tersebut menyertai TAEKWONDO MALAYSIA. Keadaan ini jelas menunjukkan pihak mereka masih berangan-angan untuk menguasai negeri Pahang walaupun mereka tahu ramai di antara mereka tidak berkelayakkan untuk memenuhi syarat TM. Mereka masih ingin terus merosakkan Taekwondo negeri Pahang dan mungkin juga berhasrat untuk balik dengan tangan kosong di dalam mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan seperti SUKMA yang yang lepas yang diadakan di Terengganu.

TM telah memberi tempoh kepada semua kelab-kelab dan persatuan-persatuan negeri yang sedia ada sehingga 30 April 2010 untuk memohon untuk bernaung di bawah TM. Pekara ini juga telah disiarkan oleh Harian Metro bertarikh 11 Mac 2010 dan juga telah di"publish" di dalam blog kami. Malangnya Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF) tidak memohon bagi bernaung di bawah TM sehingga hari ini dan TM melalui wakilnya Datuk David Samson Maman telah mengarahkan kepada Master Micheal Tan Kim Chee bagi mewujudkan pertubuhan baru yang mewakili negeri Pahang yang diberi nama TAEKWONDO PAHANG (WTF).

Pihak The Sith ini masih lagi ingin menegakkan benang yang basah dan ingin membawa Pertubuhan Taekwondo Bersatu Pahang (WTF) untuk bernaung dibawah TM sedangkan mereka telah mengetahui mereka telah terlepas tarikh tutup penyertaan yang bertarikh 30 April 2010 dan disebabkan itu juga arahan telah dikeluarkan oleh TM bagi menubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF).

Pada asalnya Master Micheal Tan Kim Chee tidak bersetuju untuk menubuhkan pertubuhan baru ini dan menyatakan cukup sekadar Kelab Taekwondo Kuantan menjadi kelab perdana (premier club) yang bernaung di bawah TM kerana beliau telah sedia maklum bahawa begitu sukar untuk bekerjasama dengan pihak-pihak "The Sith" ini. Tetapi atas desakan oleh pihak TM yang meminta beliau menubuhkan juga pertubuhan negeri yang baru, akhirnya beliau bersetuju dan sedia berbincang dengan pihak-pihak "The Sith" ini.

Seperti yang telah diketahui, The Sith sememangnya tidak pernah bersedia bagi penubuhan pertubuhan baru ini di atas ketidaklayakkan mereka dan perjumpaan kali ini adalah sia-sia sahaja kerana apa yang dibangkitkan kemudian itu hanyalah sejarah lama yang menimbulkan perbalahan.

Lebih malang lagi apabila Ketua 'The Sith" yang menjadi ketua jurulatih Taekwondo di daerah Temerloh yang berumur lingkungan 60 tahun hanya berdiam diri dan tidak mampu memberi pendapat mahupun pandangan dan hanya membiarkan "anak-anak buah" beliau yang terus menyatakan angan-angan mereka. Kejadian "berdiam diri" ini berlaku mungkin kerana beliau sendiri tahu beliau tidak layak bagi menjadi ketua jurulatih bagi kelab tersebut kerana beliau sendiri tidak mempunya Sijil Sains Sukan Tahap 1 seperti yang telah ditetapkan oleh TM.

Sebelum mengakhiri perjumpaan yang sia-sia itu, Master Micheal Tan Kim Chee telah menyatakan bahawa beliau telah membuat permohonan bagi penubuhan TAEKWONDO PAHANG (WTF), dan setelah diluluskan oleh TAEKWONDO MALAYSIA dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, beliau akan memanggil semua ketua-ketua jurulatih serta jurulatih-jurulatih lain di seluruh Pahang yang berminat agar hadir bagi Mesyuarat Agung Pemilihan yang pertama, dan mereka yang berkelayakkan dibenarkan mengundi dan mencalonkan calon-calon mereka. Kami juga sedia menerima sesiapa sahaja bagi menjadi ketua pertubuhan baru ini dan berharap perjalanan pertubuhan baru ini lebih telus daripada pertubuhan yang sebelum ini.

Kami juga berharap agar semua ini selesai dengan segera agar TAEKWONDO PAHANG (WTF) dapat menghantar wakil bagi Mesyuarat Agung Pemilihan Pertama oleh TAEKWONDO MALAYSIA yang dijangka akan diadakan pada Julai 2010.

Di dalam laporan saya yang seterusnya nanti, saya akan senaraikan syarat-syarat yang ditetapkan oleh TM bagi kelayakkan menjadi Ketua Jurulatih, kelayakan menjadi Jurulatih, kelayakkan penubuhan Kelab serta kelayakkan menjadi Pemeriksa (Examiner).

Saya juga berharap agar pihak-pihak The Sith supaya hentikan berangan-angan, keluarkan diri dari Dark Side dan sertai pertubuhan yang sah dan yang berada di jalan yang benar kerana sekiranya mereka masih berdegil, yang menjadi mangsanya adalah ahli-ahli dan pelajar-pelajar mereka.

No comments: