Wednesday, April 21, 2010

Petikan Bernama: 14 April 2010 : Khidmat Pesuruhjaya Sukan Disambung Enam Bulan Lagi

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kontrak perkhidmatan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof sebagai Pesuruhjaya Sukan dilanjutkan selama enam bulan lagi bagi menyelesaikan semua isu-isu yang masih tertangguh.

Beliau ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk memegang jawatan itu bermula April 2008 oleh Kementerian Belia dan Sukan dan tempoh kontraknya berakhir hari ini.

Dalam temuramah khas dengan Bernama di pejabatnya di sini hari ini, Nik Mahmud berkata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek telah memaklumkan kepadanya mengenai sambungan kontrak tersebut.

"Sebab utama kontrak saya disambung adalah bagi menyelesaikan beberapa penyelesaian isu berkaitan persatuan sukan yang kini dalam tindakan akhir pihak pejabat pesuruhjaya sukan," katanya.

Nik Mahmud dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan mengantikan tempat Tan Sri Elyas Omar pada 14 April 2008.

Beliau berkata masalah yang paling rumit yang kini dalam tindakan akhir adalah berkaitan dengan penubuhan persatuan Taekwondo Malaysia (TM) yang akan selesai sepunuhnya pada Jun ini apabila TM akan mengadakan mesyuarat agung pertamanya.

TM yang menjadikan badan induk bagi taekwondo didaftarkan dengan Pejabat Pesuruhanjaya Sukan (PPS) pada 18 Feb lepas bagi mengantikan Persatuan Taekwando Malaysia (MTA) dibatalkan pendaftarannya oleh PPS.

Beliau berkata satu lagi kes yang kini dalam tindakan akhir pihaknya ialah berhubung dengan masalah dalaman yang dihadapi oleh Persatuan Pemain-pemain Golf Malaysia (MPGA).

"Bagi menyelesaikan masalah dalaman MPGA, satu jawatankuasa pemandu akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini dan ianya dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

MPGA mula berdepan masalah kepimpinan pada penghujung 2006 bila mesyuarat agung luar biasanya (EGM) ditangguhkan tetapi terdapat pihak yang meneruskan EGM itu dan melantik jawatankuasa baru.

Nik Mahmud berkata selain daripada menyelesaikan masalah berhubung isu persatuan sukan, beliau juga perlu menyelesaikan beberapa perkara lain lagi.

"Apa pun saya akan berusaha untuk menyelesaikanya sebelum melepaskan jawatan ini," katanya.

Kerjaya Nik Mahmud di Kementerian Belia dan Sukan, bermula sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (2003-2004) dan Ketua Setiausaha (2004-2005) sebelum dilantik sebagai Pengerusi Panel Penasihat Sukan (2005-2008).

-- BERNAMA

No comments: