Petikan daripada artikel MyMetro
Oleh Bazly Azmi
KEMELUT dalaman Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) mengakibatkan acara itu digugurkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Melaka 2010 selain berdepan ancaman tidak dihantar menyertai Sukan Sea Laos, Disember depan.Paling jelas, kegagalan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MTA menyaksikan hanya cadangan penyenaraian sukan itu pada Sukma 2010, ditolak ketika sembilan lagi sukan diterima Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Tertinggi Sukma, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek , mengakui kecewa dengan kegagalan MTA mencari penyelesaian terutamanya dengan hasil EGM dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar, Sabtu lalu “Saya masih belum menerima laporan penuh EGM itu namun, Tunku Imran ada menelefon memaklumkan ia gagal mencapai kata sepakat. Perkara ini mengecewakan kerana Sukma hanya berbaki kurang tujuh bulan lagi dan paling penting, penyertaan taekwondo ke Laos turut belum dipastikan.
“Jadi, kami akan membuat kajian penyertaan sukan ini ke Laos dan ia akan ditentukan jawatankuasa ad hoc,” katanya dalam sidang media.
Sembilan sukan diterima ialah Formula Future, kanu, golf, tenis, ragbi, bola tampar, kabaddi, judo, lawan pedang sementara dua disiplin ditambah dalam akuatik iaitu renang berirama serta polo air.
Ia menyaksikan Sukma ke-13 di Melaka, yang tarikhnya turut ditukar kepada 10-19 Jun depan, kini membabitkan 34 jenis acara dengan setiap acara wajib disertai sekurang-kurangnya lapan negeri.Taekwondo turut di ambang kegelapan apabila Shabery membayangkan akan memanjangkan isu terbabit kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dinilai semula statusnya sebagai aktiviti ko-kurikulum sekolah seluruh negara.“Sukan berteraskan semangat tolak ansur dan setia kawan, namun jika pegawai persatuan sukan bersikap mementing diri, apa lagi yang tinggal untuk atlit dan pelajar yang menyertainya?"
Ia contoh yang tidak baik dan akan memberi kesan negatif terutamanya kepada pelajar sekolah.
“Selagi boleh, jangan sampai kerajaan mahu campur tangan dan kerana itu, saya selagi boleh masih tidak mahu gunakan kuasa KBS kerana kesannya akan berbeza (teruk).Jadi, saya minta perkara ini diselesaikan segera,” katanya.Sementara itu, mesyuarat dengan wakil persatuan negeri turut membincangkan langkah membantu Perlis, penganjur Sukma 2012, menyediakan infrastruktur menganjurkan temasya sukan terbesar negara itu.
P/S : ETC sebenarnya dari awal lagi sudah menjangkakan hal ini pasti akan berlaku dan akan menjadi lebih buruk lagi. Kesan daripada kegagalan MTA ini mengakibatkan banyak aktiviti atau program tidak dapat diadakan, lebih buruk lagi atlet-atlet Taekwondo tidak dapat menyertai kejohanan-kejohanan besar seperti SUKMA, Sukan Sea dan mungkin juga Sukan Olimpik 2012.
Manakala diperingkat daerah, masalah perebutan pusat latihan di sekolah-sekolah masih berlaku, persatuan atau kelab yang bernaung di bawah MTA, MTF serta MTCA berperang mengakui mereka adalah persatuan atau kelab yang diiktiraf, masing-masing mengemukakan dokumen-dokumen berfail-fail seperti surat dari MSN, KBS, Majlis Sukan Negeri malah ada juga yang membawa petikan-petikan artikel seperti ini yang diambil dari akhbar-akhbar tempatan.
Masalah juga timbul kepada pemegang blackbelt serta Jurulatih yang ingin menduduki "Senior Up Grading" kerana masing-masing menunggu untuk menduduki ujian tersebut dibawah MTA kerana dibimbangi sekiranya menduduki ujian tersebut dibawah MTF atau MTCA, kelak kenaikkan mereka tidak diiktiraf. Tetapi malangnya sekian lama menunggu, masalah penyatuan MTA ini masih tidak lagi berjaya.
Malang sungguh bagi sukan berpotensi tinggi ini kerana disebabkan beberapa "orang tua" yang menerajui MTA selama ini, pelatih-pelatih, atlet-atlet berpotensi serta jurulatih-jurulatih menerima padah yang sangat buruk.