Monday, June 14, 2010

Pendaftaran Evo Teakwondo Club (WTF) Diluluskan Oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia


Pada 4 Mei 2010, Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah meluluskan pendaftaran Kelab Taekwondo Evo (WTF) / Evo Taekowndo Club (WTF) yang selama ini proses pendaftaran kelab kami tergendala akibat masalah berkaitan Malaysia Taekwondo Association (MTA).

Pengerusi Kelab bersama Bendahari Kelab telah menghadiri Majlis Taklimat Dan Penyerahan Sijil Pendaftaran Badan Sukan di Dewan Komenwel, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 31 Mei 2010. Majlis ini dihadiri oleh lebih 60 buah badan sukan yang lain.

Pada 10 Jun yang lepas, kami telah mengadakan AGM yang pertama dan dihadiri oleh 20 orang ahli kelab. Mesyuarat yang diadakan selama 2 jam 30 minit itu membincangkan mengenai beberapa perkara seperti perlantikan Ahli Jawatankuasa Induk, Penggabungan dan Penaungan dibawah Taekwondo Malaysia (TM) dan Taekwondo Pahang serta beberapa perkara lain yang berkaitan.

Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) juga telah dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 12 Jun yang lepas bagi mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) - Seksyen 38(2)(b) MYKB dan Pekeliling Pesuruhjaya Sukan Bil.1/2008 (menggantikan Pekeliling Bil. 2/1998).

Keahlian kelab masih lagi dibuka kepada semua pengamal Taekwondo di seluruh Kuantan terutamanya dan pengambilan ahli akan diperkembangkan ke seluruh Pahang dan diperluaskan ke seluruh Malaysia.

Selepas ini, ETC akan menjalani proses seterusnya iaitu mendaftarkan kelab kepada Taekwondo Malaysia (WTF) dan menjadi ahli gabungan/bersekutu bagi Taekwondo Pahang (WTF). Pendaftaran Taekwondo Pahang (WTF) telah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 8 Jun 2010 dan telah dimaklumkan oleh Setiausaha TM, Datuk David Samson Maman. Dan Pengerusi ETC, Mohd Azlan Bin Mohd Nawi telah dilantik menjadi Timbalan Presiden Penaja bagi Taekwondo Pahang (WTF). Taekwondo Pahang (WTF) bakal mengadakan AGM yang dijangka pada bulan Julai 2010.

Dengan kelulusan pendaftaran oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan ini, ETC berharap dapat menunaikan harapan baru terhadap sukan Taekwondo di daerah Kuantan. Pelbagai aktiviti bakal dirancang dan diadakan selepas ini. Kami juga akan menyediakan atlet-atlet untuk menyertai mana-mana kejohanan di pelbagai peringkat bagi memperkembangkan lagi bakat atlet-atlet kami.

ETC ingin mengucapkan terima kasih kepada Master Micheal Tan Kim Chee, PJK dari Kelab Taekwondo Kuantan/Kuantan Taekwondo Academy kerana telah banyak memberi tunjuk ajar berkaitan dengan pelbagai perkara mengenai pengurusan dan pendaftaran kelab. ETC akan terus bekerjasama dengan beliau di dalam semua aktiviti dan program.

ETC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di atas kelulusan pendaftaran ini.

No comments: