Thursday, March 11, 2010

Petikan Akhbar: Sila Daftar Segera

Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com
2010/03/11


TRANSFORMASI yang dirancang terhadap persatuan baru taekwondo kebangsaan, Taekwondo Malaysia (TM) dijangka selesai selepas jawatankuasa penaja persatuan terbabit mengambil beberapa langkah bagi memastikan ia dapat berfungsi sepenuhnya Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang juga presiden jawatankuasa penaja itu berkata, tumpuan ketika ini adalah menjemput mana-mana persatuan negeri, kelab dan institusi yang masih belum mendaftar dengan TM agar segera berbuat demikian.

Memberi tempoh sehingga 30 April 2010, Tunku Imran berkata persatuan terbabit perlu menerima pindaan perlembagaan yang dibuat di peringkat negeri sebelum menyertai TM sebagai ahli bersekutu.

“Kita mahukan semua negeri mempunyai perlembagaan yang seragam,” katanya yang mengharapkan satu persatuan baru yang lebih telus menerusi penubuhan TM.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan edisi kelima Kejohanan Taekwondo Junior Koko Krunch Nestle di MOM, semalam. Seramai 1,000 pelajar berusia antara 9 hingga 12 tahun dijangka mengambil bahagian, kali ini tumpuan terarah ke Kuala Lumpur dan Ipoh selain penganjuran tujuh klinik kejurulatihan diadakan di Kuala Lumpur serta Ipoh bagi memberi pendedahan mengenai sukan itu.

Menerusi penubuhan TM, katanya selain diwakili persatuan negeri dan institusi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ia juga diwakili 20 kelab perdana yang boleh membuat undian.

“Hanya tiga negeri iaitu Kedah, Sabah dan Sarawak yang mempunyai dua persatuan negeri diminta untuk bergabung atau membubarkan satu daripadanya untuk menyertai TM. Pada masa sama kelab perdana juga perlu menyertai persatuan negeri masing-masing sebagai ahli bersekutu bagi melancarkan sebarang program di peringkat negeri,” katanya.

No comments: