Thursday, May 7, 2009

Ada Penyelesaian: Nik Mahmud


KEBUNTUAN bertahun-tahun, mahu dinoktahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) apabila menegaskan cahaya sudah kelihatan di hujung terowong berhubung isu Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).
Pesuruhjaya Sukan, Datuk Nik Mahmud Nik Yusuf, menyuarakan keyakinan, sukan taekwondo dapat dimasukkan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) menjelang Jun depan, tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini untuk persatuan itu menyelesaikan segala kemelut.
“Laporan yang saya terima mendapati, semua pihak yang bertelagah sudah pun duduk semeja membincangkan proses menerima masuk semua persatuan serpihan MTA sebelum ini,” katanya.
Nik Mahmud berkata, PJS menjangkakan segala isu berkaitan dengan perlembagaan baru serta beberapa pindaan yang berkaitan dapat diterima oleh ahli MTA sedia ada demi memastikan kemelut dalaman MTA dapat diselesaikan segera.
“Mungkin proses untuk usaha mengadakan mesyuarat agung MTA akan mengambil masa sejajar dengan perlembagaan persatuan itu dan ia diikuti proses menerima keahlian dan membentuk sebuah persatuan yang kukuh.
“Kami di PJS yakin isu ini dapat diselesaikan atas dasar semangat kesukanan dan berharap semua pihak yang terbabit, dapat bertolak ansur bagi memastikan atlit tidak teraniaya,” katanya.
Sebelum ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberikan tempoh sehingga Jun ini bagi MTA menyelesaikan segala isu berbangkit, termasuk menerima kembali semua persatuan serpihan MTA.
Terkandung dalam arahan itu adalah, MTA dan pihak lain yang bertelagah, perlu menggugurkan semua kes di mahkamah berkaitan dengan persatuan itu, termasuk saman MTA terhadap Pesuruhjaya Sukan.
Ketika ini, wujud dua puak yang saling mendakwa mereka pemimpin yang sah MTA selain dua kumpulan serpihan, Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA) dan Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF).
PJS yang kembali menubuhkan jawatankuasa adhoc selepas beberapa jawatankuasa seumpama sebelum ini gagal, yakin kemampuan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Jaa’far yang mengetuai jawatankuasa kali ini, mampu menamatkan kemelut itu. ~Berita Harian (5 Mei)

NOTA : Pendaftaran Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS)yang dipengerusikan oleh jurulatih Mohd Azlan Bin Mohd Nawi juga telah terjejas akibat daripada hal-hal yang berkaitan dengan perpecahan antara MTA, MTF dan MTCA.
Diharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana kelab-kelab baru seperti kami yang akan akan berurusan dengan pihak pendaftar atau mana-mana jabatan kerajaan yang lain akan menjadi lebih mudah. ETC yakin bukan hanya kami yang mengalami masalah ini, terdapat banyak lagi kelab-kelab baru yang ingin mendaftar atau ingin menjalankan pelbagai aktiviti terpaksa ditunda atau dibatalkan kerana masalah-masalah yang berkaitan dengan hal-hal ini.

Wednesday, May 6, 2009

Impian Tunku Imran Supaya Sukan Negara Maju Ke Depan

Tunku Imran - Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM)

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Penyelarasan yang baik antara pelbagai kementerian dan iltizam politik yang perlu datang daripada perdana menteri merupakan satu cara untuk maju ke depan bagi mewujudkan budaya sukan di Malaysia, menurut seorang pegawai tertinggi sukan negara.Presiden Majlis Olympik Malaysia (OCM) Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja'afar berkata semua kementerian perlu mendahului yang lain dalam bidang sukan, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis-majlis Sukan dalam usaha bersepadu bagi membangunkan sukan."Saya berpendapat perlu ada iltizam politik bagi perkara ini dan saya fikir ia perlu datang daripada perdana menteri memandangkan bidang sukan adalah satu perkara yang merentasi kementerian yang sebenarnya kita perlukan perdana menteri untuk mengarahkan apa yang sepatutnya berlaku," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Tunku Imran berkata beliau mendapat banyak galakan hasil pandangan yang dikemukakan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik Datuk Ahmad Shabery Cheek berhubung hala tuju sukan Malaysia yang diimpikannya."Saya suka dengan apa yang dikatakannya, perkara pertama adalah wujudkan budaya sukan, kedua, kita memerlukan pingat emas Sukan Olimpik yang sukar diperolehi dan kita akan berusaha mendapatkannya dan perkara ketiga, bidang sukan telah menjadi satu bidang perniagaan dan industri di mana peluang yang begitu besar kepada pemain, jurulatih dan masyarakat umumnya mahu memperoleh pendapatan untuk kehidupan.

"Apa yang perlu berlaku ialah memberi sedikit masa di dalam kurikulum sekolah dan sudah tentu sejam dalam seminggu tidak mencukupi dan ia perlu difikirkan semula secara mendalam berhubung perkara itu," kata Tunku Imran.Katanya secara realistik 90 peratus daripada murid sekolah yang bersukan hanya untuk tujuan kesihatan dan riadah semata-mata dan hanya 10 peratus sahaja boleh diharapkan untuk terus melangkah menyertai sukan elit sama ada bagi pertandingan peringkat kebangsaan, wilayah atau antarabangsa.

Bagi pandangannya, sukan perlu disertai dengan usaha serampang dua mata, pertamanya bagi mendapatkan khalayak yang bersukan atau berminat dalam sukan dan bagi mereka yang merasakan bahawa sukan itu sebenarnya menarik dan keduanya untuk mengenalpasti mereka yang mahu menceburi sukan elit atau ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka bergiat dalam sukan berkenaan.

Tunku Imran berkata setiap sekolah sepatutnya mempunyai kelab sukan yang menumpukan perhatian kepad atlet elit dan untuk membantu mereka supaya benar-benar aktif di dalam sukan dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan.

"Kelab-kelab sukan sedemikian perlu aktif pada hujung minggu seperti pagi Sabtu atau tengah hari dan menggunakan kemudahan sekolah untuk tujuan itu. Jika anda memandu sekitar hari Sabtu, kemudahan sekolah ditutup terus..mereka mempunyai banyak padang yang cantik tanpa sebarang kegiatan dan ia hampir menjadi satu kesalahan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya semua sekolah diberikan kemudahan seperti sekurang-kurangnya seorang jurulatih dan peralatan yang tidak semestinya mahal dan sekurang-kurangnya seorang atau dua orang pakar untuk menganjurkan sukan secara terancang dan profesional.

"Apa yang jelas, jika sekolah hanya mempunyai seorang jurulatih, sama ada lelaki atau wanita, akan bertugas terus menerus. Ia perlu ada satu peruntukan bagi jurulatih sambilan, pengadil sambilan dan lain-lain.

"Setiap persatuan sukan di negara ini sama ada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan perlu ada orang yang hanya perlu ditanya dan mereka akan sanggup melakukannya kerana kecintaan mereka terhadap sukan," kata Tunku Imran.Menurut beliau, mereka yang membuat kerja sambilan ini boleh diambil untuk membantu kelab sukan sekolah-sekolah dan para pemain elit semasa hujung minggu sementara sekolah-sekolah perlu berhimpun dan mewujudkan liga.

Bagi 10 peratus bakat-bakat sukan yang mencapai gred yang baik bagi sukan-sukan elit, pada asasnya perlu dipertandingkan setiap minggu semasa di luar tempoh peperiksaan dengan mengadakan liga antara sekolah seperti untuk Tingkatan 1 dan 2, Tingkatan 3 dan 4 dan Tingkatan 5 dan 6.

Dan Tunku Imran juga menegaskan peranan penting ibu bapa bagi mengesan bakat-bakat sukan.Seperti katanya: "Saya pasti ibu bapa sudah tentu gembira untuk memandu anak-anak mereka ke sekolah atau ke sekolah lain, jika ia adalah satu perlawanan di tempat yang jauh..mereka akan duduk dengan anak-anak mereka.

Saya fikir kita tidak pernah membawa sama ibu bapa secukupnya dalam perkara ini."Di Amerika dan Australia, ibu bapa merupakan mereka yang menjadi pemandu, pengadil, jurulatih dan segala-galanya."Jadi, saya fikir terdapat banyak sukarelawan dan kebanyakan daripada mereka adalah ibu bapa yang sudah pasti gembira untuk berada bersama-sama dengan anak-anak mereka pada pagi Sabtu atau menghantar dan mengambil anak-anak mereka kemudian dan saya fikir perkara inilah yang tidak berlaku dan ia adalah satu perkara yang sedih di negara ini," katanya.

Tunku Imran berkata "penyelarasan adalah segala-galanya" dan Kementerian Belia dan Sukan perlu mendahului dalam sukan di sekolah, universiti dan kawasan di bawah pihak berkuasa tempatan.Ketika ditanya mengenai bagaimana bakat-bakat sukan negara dilahirkan, pentadbir sukan veteran itu berkata sumber terbesar sebenarnya adalah melalui ibu bapa."Jika anda lihat setiap individu bergelar juara yang telah kita lahirkan, pengaruh ibu bapa adalah amat besar. Nicol David (skuasy), adik beradik Sidek (badminton).

Mereka perlu bermula di mana-mana, dan di dalam skuasy yang merupakan satu contoh yang baik, anda boleh melahirkan seorang juara dunia tanpa atau sekalipun melalui sistem sekolah," katanya. Sambil menyifatkan Nicol, juara skuasy dunia, sebagai contoh klasik, Tunku Imran, yang juga bekas juara skuasy kebangsaan, berkata Nicol dan begitu juga dengan rakannya Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar tidak mempelajari skuasy semasa di sekolah.

"Mereka belajar skuasy kerana ibu bapa mereka memperkenalkan mereka kepada permainan itu dan mereka bermain di kelab atau gelanggang awam dan begitu lah bagaimana ia berlaku kepada sesetengah individu yang menceburi sukan.

Ia juga boleh berlaku dalam seni mempertahan diri seperti taekwondo dan karate di mana atlet-atlet kita dapat mara ke Olimpik kerana ibu bapa mereka memasukkan mereka ke dalam kelab atau akademi dan jika benar-benar bertekad mereka sebenarnya boleh menjadi juara tanpa melalui sistem sekolah.

Sambil mengulangi kepentingan penyelarasan, Tunku Imran berkata: "Kementerian Belia dan Sukan perlu dijemput oleh Kementerian Pelajaran bagi membantu mereka memantapkan sukan di sekolah-sekolah."Jika tidak, tiada penyelarasan.

Adalah penting jika kita hendak membelanjakan wang yang banyak dalam usaha melahirkan juara oleh Kementerian Belia dan Sukan, mereka perlu tahu bahawa perkara yang akan diperolehi nanti adalah dalam standard tertentu..jika ianya tidak baik, mereka tidak akan mampu untuk menjadi juara," katanya.-- Azman Ujang, BERNAMA