Kejohanan Taekwondo (WTF) Jemputan UIA 2008 (2nd IIUM Invitational Taekwondo (WTF) Championship 2008) yang berlangsung di UIA Indera Mahkota Kuantan pada 16 - 17 Ogos 2008 berjalan dengan lancar dan mempamerkan pertempuran hebat wira-wira Taekwondo seluruh Kuantan.
Hari pertama (16 Ogos 2008) menyaksikan pasukan Taekwondo dari SMK Tanah Putih, SMK Sultan Abu Bakar, SMK (P) Methodist dan SMK Tengku Afzan menguasai gelanggang dan meraih kemenangan satu persatu kategori yang dipertandingkan.
ETC hanya menghantar 17 orang bagi kategori bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun dan berjaya memungut 2 pingat emas, 2 perak dan 3 gangsa. Norasyikin Nordin (SMK Seri Damai) dan Syahirah Zolkifli (SMK Pandan) adalah pemenang pingat Emas bagi kategori bawah 15 tahun manakala Abdul Wahid Osman (SMK Pandan) & Siti Zafirah Abd Rahman (SMA Al-Ihsan) meraih pingat Perak bagi kategori bawah 18 tahun.
Norasyikin Nordin adalah pemenang pingat perak bagi kejohanan yang sama pada tahun lepas dan berjaya meraih pingat Emas bagi kejohanan kali ini dianggap sebagai satu peningkatan yang bagus dan sebagai persediaan untuk menduduki ujian kelayakkan talipinggang hitam pada September ini. Selain daripada Norasyikin Nordin, pemenang-pemenang pingat lain belum pernah menyertai mana-mana kejohanan sebelum ini dan kejohanan kali ini adalah kejohanan pertama yang mereka sertai dan telah meraih pingat dan boleh dianggap membanggakan.
Hari kedua (17 Ogos 2008) pula menyaksikan SK Fakeh Abd Samad, SK Jaya Gading & SK Kampong Padang menguasai gelanggang dan meraih kemenangan hampir setiap kategori. Untuk kategori sekolah rendah, ETC telah menghantar seramai 73 orang peserta dan telah memungut 9 pingat Emas, 7 pingat Perak dan 19 pingat gangsa.
Lebih membanggakan lagi, kebanyakkan pemenang pingat-pingat ini adalah terdiri daripada peserta yang pertama kali menyertai kejohanan seperti Hafizaini (SK Fakeh Abd Samad) dan Nor Aainaa Syaheeda (SK Kampong Padang).
Walaupun kejohanan ini berjalan dengan lancar, terdapat juga komen-komen daripada ibubapa yang mempertikaikan beberapa perkara seperti ketelusan pengadil, tempat parking kereta & keadaan tempat pertandingan yang kecil dan sempit, tidak mampu menampung bilangan peserta dan penontan yang ramai. Diharapkan penganjur kejohanan dapat mempertingkatkan lagi mutu penganjuran, menyediakan tempat pertandingan yang lebih luas dan selesa, menyediakan tempat letak kereta yang lebih bagus serta menyediakan pengadil-pengadil yang terlatih.
Walaubagaimanapun, kami dari ETC mengucapkan tahniah kepada pihak UIA & terima kasih atas penganjuran ini. Kami berharap agar kejohanan ini akan diteruskan setiap tahun kerana ini adalah salah satu medan bagi kami untuk mengasah bakat anak-anak didik kami.