Thursday, December 17, 2009

ETC Bukan Anak Angkat




Evo Training Centre (ETC) telah didaftarkan pada 3 Julai 2006 dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956 (Pindaan 2001), Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah menjadi ahli sekutu bagi Kuantan Taekwondo Academy (KTA) bermula dari tarikh penubuhannya.


Sejak daripada penubuhannya, ETC telah memperkembangkan lagi sukan Taekwondo di sekitar daerah Kuantan, Pahang terutama di kawasan pedalaman seperti di Felda Panching, Felda Kolek dan di kampung-kampung seperti Kampung Jaya Gading, Kampung Seri Damai, Kampung Padang dan sebagainya.

Semenjak itu juga, ETC telah bergiat aktif di dalam pembangunan sukan Taekwondo dan telah mengambil bahagian di setiap kejohanan dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kuantan Taekwondo Academy (KTA), Malaysia Taekwondo Association (MTA) serta Malaysia Taekwondo Federation (MTF).

ETC juga adalah penyumbang ahli antara yang teramai di dalam penyertaan di setiap Ujian Kelayakkan Tali Pinggang (Grading) yang dianjurkan oleh KTA.

Dianggarkan seramai 250 orang ahli telah mendaftar menjadi ahli kelab Taekwondo ETC pada setiap tahun dari usia 5 tahun sehingga 19 tahun, di 12 buah pusat latihan seperti di Tadika, Pusat Jagaan, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Sekolah Swasta serta Kolej.

Walaubagaimana pun, ETC telah mencuba untuk mendaftar Evo Taekwondo Club di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada pertengahan 2008, namun telah ditolak kerana tidak mempunyai pengiktirafan atau surat sokongan daripada MTA atau MTF.

Ketua Jurulatih Kelab Taekwondo ETC, Mohd Azlan Bin Mohd Nawi pernah menghubungi pihak MTA dan MTF untuk memperolehi pengiktirafan daripada mereka tetapi telah ditolak dengan alasan Ketua Jurulatih tersebut masih memiliki tali pinggang hitam terendah iaitu 1st Dan dan tidak layak untuk memperolehi pengiktirafan oleh mereka.

Ketua Jurulatih Kelab Taekwondo ETC, Mohd Azlan Bin Mohd Nawi telah menyertai KTA (sebelum ini dikenali sebagai Pertubuhan Taekwondo Kuantan (WTF) Pahang) sejak 1995 adalah pemegang sijil kejurulatihan Taekwondo (Specific Level 1) MTF dan Sijil Sains Sukan Tahap 1, MSN.

Beliau telah memperolehi Tali Pinggang Hitam Dan pertama (1st Dan) pada tahun 1999 di bawah MTA. Beliau juga aktif di dalam setiap aktiviti anjuran KTA sebagai petugas, peserta dan pengadil di dalam setiap program anjuran KTA sebelum dan semasa beliau memiliki Tali Pinggang Hitam.

Beliau juga telah berkhidmat sebagai penolong jurulatih di bawah KTA walaupun semasa melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma di Kolej IKIP, Kuantan pada tahun 2000 sehingga 2002.

Pada tahun Januari 2005, beliau telah mulakan kerjayanya sebagai Jurulatih Taekwondo sepenuh masa dan mula melatih di 5 buah pusat latihan di bawah naungan KTA dan telah menubuhan ETC pada Julai 2006.

Pengalaman beliau selama 15 tahun di dalam sukan Taekwondo, 10 tahun sebagai pemegang tali pinggang hitam Dan pertama (1st Dan) dan 5 tahun sebagai Jurulatih yang telah melatih lebih kurang 250 orang pelatih tidak pernah diambil kira oleh mana-mana pihak termasuk MTA, MTF, Majlis Sukan Pahang atau mana-mana badan yang bertanggungjawab untuk memajukan sukan Taekwondo di mana-mana peringkat.

Beliau juga tidak pernah ditawarkan untuk menduduki "Senior Up-Grading" bagi menaiktaraf tahap tali pinggang beliau walaupun masih bergiat aktif sejak 1999.

Pelatih-pelatih ETC juga tidak pernah mendapat peluang untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat daerah walaupun telah berjaya memperolehi pingat emas di dalam pertandingan/kejohanan yang dianjurkan di dalam daerah Kuantan seperti MSSD atau Kejohanan Jemputan UIA dan sebagainya.

Kewujudan ETC di daerah Kuantan juga seperti tidak diketahui oleh badan-badan sukan daerah atau negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah dan Pejabat Pelajaran Negeri Pahang kerana ETC sentiasa dibayangi oleh KTA iaitu kelab yang lebih besar dan terkenal di dalam daerah Kuantan mahupun negeri Pahang.

Yang lebih malang lagi, ETC seolah-oleh disekat oleh pihak tertentu daripada mengetahui maklumat terkini berkenaan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh MTA mahupun MTF melainkan ETC telah mendapatkan maklumat daripada rakan-rakan daripada Kelab atau Persatuan lain atau dari Majlis Komuniti Senibeladiri Malaysia (MCM).

ETC pernah juga ingin mendaftarkan dibawah Pejabat Pendaftar Pertubuhan namun telah ditolak kerana dikatakan kelab ini terlalu "besar" untuk didaftarkan dibawah Pejabat tersebut namun terlalu "kecil" untuk didaftarkan dibawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Kini ETC hanya dianggap bergiat sebagai "perniagaan" dan bukannya sebagai badan sukan. Dan tidak layak untuk meminta dan menerima bantuan kewangan dari pihak-pihak tertentu seperti daripada pejabat wakil rakyat atau badan-badan kerajaan yang lain.

ETC tidak ubah seperti anak angkat bagi pihak-pihak tertentu, hanya melakukan aktiviti sendiri tanpa disedari atau diiktiraf oleh mana-mana pihak. Pelatih-pelatih ETC hanya berlatih untuk menaiki gred tali pinggang mereka dan bagi mereka yang berbakat besar hanya sekadar menunjuk bakat di dalam kampung sahaja. Latihan Taekwondo oleh ETC juga telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai rekreasi sahaja bukan untuk dipertandingkan di pelbagai peringkat.

ETC berharap agar satu hari nanti ETC akan diberi peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi kerana ETC sudah lama berada di tahap "selesa".



Wednesday, December 9, 2009

Harapan Taekwondo

(Gambar sekadar hiasan)
Petikan dari MyMetro


SEMUANYA terpulang kepada atlit. Jika mereka berjaya mempersembahkan aksi konsisten pada hari pertandingan nanti, impian menggapai pingat bukan lagi mustahil walaupun taekwondo sering dikaitkan dengan pelbagai helah negara tuan rumah.

Acara subjektif biasanya menjadi medan untuk negara tuan rumah serta sekutunya meraih sebanyak mungkin emas tetapi penggunaan sistem pemarkahan baru diperkenalkan di Sukan Sea Laos, membuka ruang cukup luas buat semua negara mengambil bahagian.

Hakikat itu diakui jurulatih acara Poom Sae (pattern) Taekwondo, Michael Liew yang berkata semua lima juri di penjuru gelanggang akan menggunakan sistem komputer untuk memberi markah dan juri memberikan jumlah markah tertinggi serta terendah akan diketepikan dan hanya markah tiga juri lain akan dikira untuk mencari markah sebenar yang dimenangi peserta.

“Dengan sistem baru itu, setiap atlit tidak kira negara akan mempunyai ruang serta peluang sama rata untuk menang pingat.

Secara logiknya, tidak akan ada sebarang bantuan luaran, terutama daripada juri tertentu yang memihak kepada atlit pilihan masing-masing.

“Ketika Kejohanan Dunia di Mesir baru-baru ini, sistem itu diguna pakai dan ia terbukti berkesan,” katanya.

Empat atlit disenaraikan untuk acara Poom Sae dan Michael menaruh keyakinan tinggi salah seorang anak buahnya akan menamatkan persembahan di podium.

“Saya yakin kami akan menang pingat tapi saya tidak berani menjanjikan apakah warna pingat itu. Negara paling menyerlah dalam acara Poom Sae ini ialah Vietnam dan kami juga tidak boleh memandang mudah cabaran negara lain,” katanya.

Peserta negara dalam acara Poom Sae ialah S Anantharajan, Raffique Hashimi Hashim, Lee Pay En dan Lee Jeng Yen. Anantharajan serta Jeng Yen dipertaruhkan untuk acara individu lelaki dan wanita manakala Raffique dan Pay En bergandingan dalam kategori berpasangan.